EMPAT, gabungan empat bintang tersohor tanah air iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, tampil dengan kejutan istimewa buat para peminat menerusi lagu baharu berjudul Jangan Henti. Lagu ini hadir sebagai simbol kasih, semangat dan penghargaan EMPAT terhadap sokongan tanpa henti yang diterima sepanjang perjalanan seni mereka.
“Jangan Henti adalah hadiah terbaru daripada kami buat para peminat. Lagu ini yang dirakamkan khas ini lahir daripada kasih dan semangat yang tidak pernah putus, sama seperti sokongan anda yang sentiasa mengiringi langkah kami. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan terindah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025,” ujar mereka.
Lagu ciptaan Edry Abdul Halim (KRU) dengan lirik oleh Syamel, Ernie dan Edry serta kerjasama Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini dijangka akan berada di semua platform digital pada minggu hadapan.

Bagi meraikan momen bersejarah ini, EMPAT turut mengadakan sesi eksklusif bersama peminat pada 4 Oktober 2025 di Sungei Wang Plaza bersempena tayangan perdana muzik video Jangan Henti. Lebih daripada sekadar kemunculan eksklusif, acara ini memberikan peluang kepada peminat untuk berfoto secara peribadi bersama EMPAT — empat figura seni yang telah lama mewarnai industri muzik tanah air dengan karya dan dedikasi mereka.
Seramai 70 peminat bertuah akan dipilih, terdiri daripada 50 terawal yang hadir dengan bukti pembelian tiket konsert serta 20 terawal yang membeli tiket di lokasi acara. Semua yang terpilih akan menerima poster eksklusif bertandatangan EMPAT sebagai kenangan istimewa.
EMPAT turut menzahirkan rasa syukur kepada para peminat atas kasih dan sokongan yang tidak pernah pudar. “Kami, EMPAT, menantikan kehadiran anda dengan penuh rasa syukur dan terima kasih. Setiap anda yang hadir bukan sekadar memberi sokongan, tetapi menjadi sumber kekuatan dan semangat buat kami. Sokongan anda adalah inspirasi yang akan membawa tenaga, kekuatan dan doa agar konsert pada 18 Oktober nanti bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah kenangan terindah buat anda semua,” ujar mereka.
Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 yang bakal berlangsung pada 18 Oktober di Mega Star Arena dijangka menjadi malam penuh magis. Empat suara emas ini bakal bersatu di atas satu pentas untuk menghadirkan persembahan bersejarah kepada peminat muzik tempatan.
Bagi yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh didapati melalui www.ticket2u.com.my/empatkl. Pastikan anda bersedia, bertenaga dan hafal semua lirik kerana EMPAT menjanjikan persembahan terbaik buat semua. Inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah dalam industri muzik Malaysia.