Industri muzik tanah air terus meriah dengan pelbagai penganjuran konsert yang silih berganti, menampilkan pelbagai genre dan barisan artis dari solo hingga berkumpulan. Kini giliran barisan legenda rock tanah air era 90-an pula kembali ke pentas bagi menghiburkan peminat setia menerusi Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90an yang bakal berlangsung pada 27 September 2025 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Konsert istimewa ini menampilkan sepuluh penyanyi rock terkenal yang pernah mencipta nama besar pada era 90-an. Mereka terdiri daripada Blank daripada kumpulan Gamma, Aan dari Ways, Burn dari Meditasi, Renggo dari Arrow, Isa dari Gravity, Azan dari Scan, Shafie dari Rio, Afee dari Utopia, Wom dari UG14 dan Aju dari Success. Gabungan kesemua nama ini menjanjikan sebuah persembahan yang penuh nostalgia dan pasti membangkitkan semangat para peminat rock tanah air.
Plaza Alam Sentral dipilih sebagai lokasi konsert dengan kapasiti menampung seramai 1200 penonton. Bagi peminat yang tidak dapat hadir ke lokasi, konsert ini juga ditawarkan dalam format penstriman secara langsung yang boleh ditonton dari mana-mana sahaja. Ini memberi peluang lebih luas kepada peminat untuk menikmati persembahan yang dinantikan ramai.

Tiket konsert telah mula dijual menerusi laman web rasmi www.211eventempire.com dengan beberapa pilihan zon harga mengikut keselesaan penonton. Tiket Bronze ditawarkan pada harga RM188, Silver pada RM288, Gold pada RM388, Platinum pada RM488 dan tiket VIP berharga RM1888. Bagi yang memilih untuk menonton secara penstriman, tiket dijual pada harga RM20 sahaja.
Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90an akan bermula pada jam 9 malam dan dianjurkan oleh 211 Event Empire bertempat di RCDbig Studio, tingkat lima, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Konsert ini bukan sekadar mengimbau kenangan zaman kegemilangan rock 90-an, tetapi juga menjadi medan buat para otai untuk kembali memukau peminat dengan persembahan bertenaga dan lagu-lagu hits yang pernah menguasai carta muzik tempatan.