Bersatu Demi Lautan: Nestlé, UMT dan LKIM Perkukuh Usaha Lindungi Alam dan Komuniti Nelayan

Nestlé Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti apabila berganding bahu dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan komuniti nelayan tempatan dalam Program Pembersihan Pantai dan Bawah Laut 2025. Diadakan di Pantai Tok Jembal, Terengganu, inisiatif ini menghimpunkan lebih 350 sukarelawan termasuk kakitangan Nestlé, pelajar UMT, wakil LKIM dan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membersihkan persekitaran pantai serta laut yang menjadi sumber rezeki penduduk setempat.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pembersihan kawasan pantai, penyingkiran pukat hantu dari dasar laut, membuang teritip dari bot nelayan, baik pulih pondok nelayan dan pengedaran barangan keperluan asas kepada keluarga nelayan. Usaha ini merupakan sebahagian daripada program Nestlé Sayang Komuniti, sebuah inisiatif sukarelawan korporat yang bertujuan memulihkan persekitaran serta membina kesedaran awam terhadap isu pencemaran marin yang semakin kritikal.

Sukarelawan membentuk barisan untuk menyalurkan sisa marin yang dikumpul ke satu lokasi khas bagi tujuan penimbangan dan pengasingan, selepas aktiviti pembersihan berjaya dilaksanakan di Pantai Tok Jembal.

Sukarelawan dari Nestlé dan pasukan Ocean Heroes UMT turut menyelam di perairan Pulau Bidong bagi menyingkirkan pukat hantu yang membahayakan terumbu karang dan ekosistem marin. Penyelidik UMT melaksanakan audit sisa untuk mengumpul data penting berkaitan sisa laut, yang akan digunakan dalam kajian jangka panjang demi perlindungan biodiversiti marin.

Terumbu karang yang menghiasi pesisir Terengganu bukan sahaja habitat marin yang kaya tetapi juga kawasan penangkapan ikan utama bagi negeri itu. Namun, kawasan ini kini antara yang paling terjejas akibat sisa plastik yang mengalir ke laut. Kajian menunjukkan Malaysia antara negara tertinggi dari segi pendedahan kepada mikroplastik melalui makanan laut, memberi isyarat jelas bahawa pencemaran ini membawa risiko kesihatan yang serius dan memerlukan tindakan segera.

Sukarelawan Nestlé membantu membina dan mengecat pondok nelayan di Pantai Tok Jembal bagi memberikan wajah baharu untuk kegunaan komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, En. Juan Aranols berkata, pendekatan Menjana Nilai Bersama menjadi teras kepada segala inisiatif syarikat. Nestlé komited untuk mencapai keneutralan plastik dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan tempatan demi menyingkirkan sisa dari alam sekitar sambil membudayakan amalan lestari di seluruh rantaian nilai. Menurut beliau, kolaborasi yang dijalankan di Terengganu ini mencerminkan hasrat Nestlé untuk bukan sahaja melindungi alam semula jadi, malah menyokong kehidupan komuniti yang bergantung kepadanya. Katanya lagi, kehadiran mikroplastik dalam rantaian makanan menambahkan urgensi kepada inisiatif seperti ini, yang penting untuk jaminan makanan dan kelestarian jangka panjang.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim, ketua kumpulan penyelidik Microplastics Research Interest Group (MRIG) UMT, menyatakan kerjasama dengan Nestlé telah membolehkan hasil penyelidikan diterjemah kepada impak dunia sebenar. Penyingkiran pukat hantu dan sampah laut bukan sahaja membantu pemulihan ekosistem tetapi turut menjamin sumber pendapatan nelayan yang terkesan akibat pencemaran. Inisiatif ini, katanya, memperkukuh kesedaran alam sekitar dan membuka jalan ke arah penjagaan marin yang lebih mampan di Malaysia.

Encik Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, bersama UMT dan dengan sokongan APMM berjaya mengeluarkan jaring hantu dari dasar laut bagi membantu memulihkan habitat marin serta melindungi terumbu karang daripada kerosakan.

Selain di Terengganu, Nestlé turut menggerakkan 190 kakitangan lain di lokasi berbeza termasuk di Pantai Kelanang (Selangor), Pantai Teluk Senangin (Perak) dan Pantai Tanjung Aru (Sabah) bagi meneruskan misi besar-besaran menangani isu pencemaran plastik. Semua sisa yang dikutip telah diproses dengan bertanggungjawab, dihantar kepada pengitar semula bertauliah atau kemudahan pelupusan yang diluluskan.

Sepanjang program tahun ini sahaja, sekitar 2 tan sisa telah berjaya dikumpulkan. Sejak diperkenalkan pada 2019, inisiatif pembersihan pantai dan bawah laut anjuran Nestlé ini telah mengeluarkan hampir 17 tan sisa dari perairan Malaysia, membuktikan impak berterusan dalam usaha menjaga alam sekitar.

Nestlé Sayang Komuniti (sebelum ini dikenali sebagai Nestlé Cares) merupakan platform rasmi syarikat untuk menyatukan usaha sukarelawan kakitangan dalam menyumbang semula kepada komuniti dan alam sekitar. Melalui kerjasama erat bersama komuniti tempatan dan rakan strategik, Nestlé Malaysia kekal komited dalam mendukung kelestarian alam, pemulihan ekosistem serta kesejahteraan masyarakat dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan krisis pencemaran yang semakin genting.