Konsert Jiwa Kacau 2025: Battle of Rock Legends & New Icons

Dunia muzik sekali lagi bakal digegarkan dengan sebuah pertempuran epik! MND Sport & Event Sdn Bhd terus mengukuhkan nama Jiwa Kacau sebagai platform hiburan berprestij dengan penganjuran Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game. Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah perayaan muzik yang menggabungkan legenda dan generasi baharu dalam satu pentas penuh tenaga.

Konsert ini bakal berlangsung pada 28 Jun 2025 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan akan menghimpunkan barisan artis hebat dari Malaysia dan juga Indonesia. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, di mana pemuzik tersohor bakal membawa persembahan yang pastinya memukau!

Buat pertama kalinya dalam sejarah siri Jiwa Kacau, kugiran legenda Spider bakal membuat kemunculan yang dinanti-nantikan oleh para peminat. Tidak ketinggalan juga, dua band yang telah mencipta gelombang besar dalam industri muzik tempatan iaitu Hujan dan Bunkface turut hadir untuk menggegarkan pentas. Sementara itu, dari seberang Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band akan diterbangkan khas bagi membuktikan bahawa muzik Nusantara terus bersatu tanpa mengira batasan negara.

Menurut Harith Daniel dari MND Sport & Event Sdn Bhd, setiap tahun Jiwa Kacau hadir dengan kejutan tersendiri. “Kami berpegang pada komitmen untuk memberikan pengalaman terbaik buat peminat. Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game bukan sekadar satu lagi edisi, tetapi ia akan menjadi pentas paling luar biasa dengan gabungan nama-nama besar industri.” katanya.

Bagi Spider, ini adalah pentas istimewa buat mereka untuk berkongsi kegemilangan bersama pemuzik generasi baharu. “Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game. Walaupun namanya ‘final game’, ini bukan pengakhiran. Kami akan memberikan persembahan terbaik yang akan diingati peminat!” ujar Tam, vokalis Spider.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh sejarah ini kerana hanya ada 8,000 tiket yang tersedia. Tiket kini boleh didapati di www.ilassoticket.com dengan pilihan kategori yang bersesuaian dengan keselesaan dan pengalaman yang anda inginkan. Pastikan anda berada di barisan hadapan untuk menyaksikan pertempuran muzik paling epik tahun 2025!