Lebih 100 buah filem layak bertanding pada Festival Filem Malaysia ke-33 kali ini

YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, telah mengumumkan bahawa penyertaan untuk Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) kini dibuka sehingga 6 September 2024. Pengumuman ini dibuat semasa majlis yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang.

Pemberian Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) berjaya menarik pelaburan asing yang signifikan dan merancakkan aktiviti penggambaran filem di dalam negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Malam kemuncak FFM33 dijadualkan pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media. Festival kali ini mengetengahkan tema “Emas,” simbol evolusi dan kejayaan sinema Malaysia. Tema ini juga mencerminkan visi baharu FINAS dalam menghasilkan kandungan berkualiti untuk pasaran antarabangsa, memperkukuh industri filem sebagai pemacu ekonomi kreatif dan budaya negara.

FFM33 bukan hanya meraikan karya seni dan kreativiti dalam industri filem tempatan, tetapi juga berfungsi untuk memperkukuh sumbangan industri perfileman terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia.

FFM33 akan menyaksikan pertandingan dalam 30 kategori anugerah, termasuk kembalinya kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik. Ini merupakan sebahagian daripada usaha festival ini untuk mengiktiraf kecemerlangan karya filem dan bakat kreatif Malaysia sepanjang tahun ini.

Sebagai festival filem bertaraf nasional, FFM dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui FINAS untuk mengangkat dan menghargai kualiti filem serta sumbangan kreatif dalam industri. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik dan penyiar rasmi bagi acara anugerah yang penuh gilang-gemilang ini.

FINAS juga membuka peluang untuk kerjasama dan penajaan daripada pelbagai pihak, termasuk pelabur, syarikat produksi, syarikat korporat, dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, untuk turut serta dalam festival berprestij ini.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi FFM33 di https://ffm.finas.my atau hubungi Noorzillawati Yahya (penyertaan) melalui penyertaanffm33@finas.my atau 03-41041354, serta YM Ts. Raja Mohammad `Adhzim Raja Ahmad (penajaan) melalui penajaanffm@finas.my atau 03-41010471.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, dan ahli-ahli perbadanan FINAS turut hadir pada majlis tersebut.