Filem “Zim Zim Ala Kazim” Kupas Sakit Misteri Ustaz Kazim

Oleh: Zizi Hashim

Mendapat keizinan untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat cerita tentang pengalaman dilalui oleh pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias yang pernah mengidap sakit misteri pada tahun 2021, syarikat produksi Mawi World Entertainment meletakkan harapan yang tinggi untuk mengubah persepsi golongan agamawan tentang pawagam sebagai tempat maksiat dan mengajak Geng Surau / Masjid untuk sama-sama menonton filem Zim Zim Ala Kazim bermula tayangan pada 13 Jun 2024 nanti.

Berakhir sembuh pada sekitar September 2022 setelah menjalani rawatan di Madinah, kisah benar yang dialami sendiri oleh Datuk Ustaz Kazim Elias mendapat liputan meluas dari pelbagai pihak. Filem arahan ketiga Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, penyanyi dan pengarah filem, ketika ditemui pada tayangan Malam Gala filem Zim Zim Ala Kazim di GSC The Starling Mall tanggal 7 June 2024 yang lalu berkata, “Hampir 80% jalan cerita menyamai kisah hidup Ustaz Kazim bagaimanapun tidak semua diceritakan. Jalan cerita telah dirombak dan diolah panel skrip mengikut kesesuaian.”

Menurutnya lagi, “Cabaran utama ialah bagaimana nak mengajak geng-geng surau atau masjid ini untuk tengok wayang? Bukan lah suatu yang mudah. Persepsi panggung wayang tempat maksiat itu tak betul. Katanya tengok wayang berdosa besar, itu tak betul. Mentaliti seperti ini harus dibuang kerana ianya bergantung pada cerita yang ditonton. Banyak pengajaran serta mesej berguna diselitkan dalam filem lakonan Ustaz Kazim ini. Bertujuan untuk memberi pendedahan kesan buruk daripada perbuatan sihir dan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat.”

Bercerita tentang pengalaman di santau, Ustaz Kazim berkata selama ini orang ramai hanya mendengar cerita dari mulut orang sahaja. Kesempatan untuk menonton sendiri kesakitan yang dialami, perbuatan sihir dan mistik, makan katak atau ulat, penampakan entiti halus, babak orang datang minta maaf dan sebagainya, boleh dilihat apabila perkisahan itu difilemkan. Bagaimanapun kerana bimbang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF), kebanyakan babak telah diringankan sedikit dengan menyelitkan jenaka, disamping mengekalkan kebenarannya.

Penambahan dan olahan adalah semata-mata untuk mencantikkan jalan cerita. Ustaz Kazim menjelaskan, perbuatan sihir dan mistik ada diceritakan di dalam Al-Quran dan sudah berlaku sejak zaman nabi. “Sihir ini wujud, jika kita tolak wujudnya sihir maka kita sudah menolak Al-Quran. Ilmu sihir termasuk dalam kategori dosa besar, ianya akan sentiasa ada, malah akan sentiasa ada orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat.” kata Ustaz Kazim yang mahu memberi pendedahan kesan buruk daripada perbuatan sihir disamping memupuk kesedaran untuk lebih menjaga tuturkata.

Selain Datuk Ustaz Kazim Elias dan Mawi, filem Zim Zim Ala Kazim turut menampilkan barisan pelakon seperti Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthes Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Rosnah Johari, Azman Naim Mantra, Syanie, Zarina Anjoulie dan ramai lagi. Mengisahkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal, menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya lantas mengambil keputusan untuk menyelamatkannya. Persamaan kisah diri Mawi dengan Ustaz Kazim telah mendorong kepada penerbitan naskhah yang menggabungkan genre seram dan komedi itu.

Mawi memanjatkan rasa syukur apabila filem ini mendapat kelulusan 100% daripada LPF tanpa sebarang potongan dibuat. Sebelum ini, filem Zim Zim Ala Kazim direncanakan untuk siaran di saluran Astro First di platform OTT namun selepas perbincangan, pihak produksi bersetuju membawa naskhah ini ke layar perak. Jom sama-sama kita tonton filem Zim Zim Ala Kazim bermula 13 Jun 2024 di pawagam.