TBA Tampil Buat Pertama Kali di Malaysia November Ini

Teuku Ryzki, Bastian Steel, dan Alvaro Maldini merupakan Trio popular Indonesia yang dikenali sebagai TBA, bakal tampil buat pertama kali di Malaysia melalui konsert sulung mereka pada 29 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini dibawakan oleh Ikarl Project dari Malaysia dengan kerjasama Evb Group dari Singapura, serta disokong oleh Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) dan tajaan Emina Cosmetic Malaysia.

TBA, yang dahulunya dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR, mula mencipta nama dalam industri muzik Indonesia dan Asia Tenggara. Trio ini meniti populariti ketika dikenali sebagai Coboy Junior, bersama bekas anggota lain, Iqbaal dan Aldi. Lagu-lagu seperti Kamu (2011), Eeaaa (2012), dan Kenapa Mengapa (2012) menjadikan mereka kegilaan remaja dan salah satu kumpulan pop yang paling diminati di rantau ini.

Kini, dengan nama baharu sebagai TBA, mereka terus memukau peminat dengan lagu hit terbaru mereka, U-Uh. Konsert di Kuala Lumpur ini dijangka akan menampilkan lagu-lagu hit terdahulu serta beberapa lagu baru yang belum pernah didendangkan. Menurut penganjur, persembahan TBA akan penuh dengan tenaga dan kualiti yang tidak mengecewakan. “TBA adalah pilihan yang tepat untuk dibawa ke Malaysia. Mereka bukan sahaja mempunyai persembahan yang hebat, tetapi juga karisma yang mampu menarik peminat,” ujar penganjur.

tba

Bagi mempromosikan konsert ini, Teuku Ryzki telah diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan media tempatan dan peminat dalam sesi ramah mesra. Ini memberikan peluang kepada peminat untuk mengenali lebih dekat salah seorang anggota kumpulan ini sebelum mereka beraksi di atas pentas pada akhir November nanti.

Selain TBA, konsert ini turut menampilkan kumpulan UN1TY dan artis tempatan, Syaffiq Sahli. Pada asalnya, Amir Hariz telah dipilih sebagai salah satu artis yang akan membuat persembahan, namun beliau terpaksa digugurkan selepas tindakannya memuat naik video kontroversi yang menunjukkan dirinya membuang kucing mendapat kecaman hebat dari peminat dan Persatuan Pencinta Kucing. Penganjur akhirnya membuat keputusan untuk menggantikan Amir Hariz dengan Syaffiq Sahli demi memastikan konsert berlangsung tanpa kontroversi.

Penganjur menjelaskan bahawa keputusan menggugurkan Amir Hariz adalah langkah yang wajar bagi menjaga imej konsert dan memberikan pengalaman terbaik kepada peminat yang hadir. “Kami ingin memastikan konsert ini menjadi malam yang penuh hiburan tanpa sebarang gangguan atau kontroversi. Syaffiq Sahli adalah pilihan tepat untuk menggantikan Amir, dan kami yakin persembahannya akan memikat hati penonton,” jelas penganjur.

Konsert sulung TBA di Malaysia dijangka akan menjadi acara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat muzik pop Indonesia di sini. Persembahan lagu-lagu hit seperti U-Uh dan beberapa lagu baru pastinya akan menjadikan malam tersebut tidak dapat dilupakan. TBA terus membuktikan bahawa mereka masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai salah satu kumpulan pop yang paling disayangi di rantau ini.

Peminat yang hadir pastinya akan dihidangkan dengan persembahan yang memukau dan dinamik daripada ketiga-tiga anggota TBA, menjadikan konsert ini satu acara yang wajib dihadiri bagi semua peminat mereka di Malaysia. Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton Konsert TBa didapati di http://evb.ubertickets.asia.