SkyWorld catat untung bersih RM41.9 juta

SkyWorld catat untung bersih RM41.9 juta

SKYWorld Development Berhad (SkyWorld) mencatatkan keuntungan selepas cukai RM41.9 juta dengan pendapatan sebanyak RM210.8 juta bagi suku pertama yang belum diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (Q1FYE2024).

Menerusi suku tinjauan berkenaan, SkyWorld turut mencatatkan keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM42.0 juta.

Pendapatan Q1FYE2024 diperoleh daripada pengiktirafan hasil progresif projek yang sedang dijalankan, iaitu SkySierra Residences (The Valley), SkyAwani IV Residences, SkyAwani V Residences, EdgeWood Residences, SkyVogue Residences, Curvo Residences serta daripada jualan inventori telah siap terutamanya SkyMeridien Residences dan Bennington Residences.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, memasuki tahun kewangan baharu, laporan keputusan suku pertama itu mencatatkan hasil yang memberangsangkan.

“Sehingga 30 Jun 2023, syarikat mempunyai jualan belum dibeli sebanyak RM951.9 juta yang akan diiktiraf secara progresif pada tahun-tahun akan datang.

“Selain itu, sebagai sebahagian daripada strategi 2024 kami, kami merancang untuk melancarkan projek baharu di Lembah Klang dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar melebihi RM1 bilion,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Thien Phing, pihaknya akan meneruskan usaha terhadap kebolehsuaian, daya tahan dan ciri-ciri yang telah membimbing syarikat untuk mendapatkan kepuasan pelanggan.

Beritahu beliau lagi, SkyWorld juga akan terus berdedikasi untuk menyediakan rumah berteraskan inovasi dan kualiti yang sangat baik.

Sumber