Sentimen berhati-hati dorong Bursa Malaysia ditutup rendah

Sentimen berhati-hati dorong Bursa Malaysia ditutup rendah

BURSA Malaysia mengakhiri dagangan Isnin pada paras terendah intra harian susulan sentimen berhati-hati dan kekurangan pemangkin baharu di tengah-tengah prestasi bercampur-campur dicatatkan oleh pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.41 mata kepada 1,418.76 daripada 1,424.17 pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.10 mata kepada 1,424.07 dan bergerak ke paras 1,428.04 dalam dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 632 berbanding 285 manakala 427 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.01 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 3.03 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, prestasi indeks utama serantau ditutup bercampur-campur ketika pelabur terus memantau data ekonomi China dan Jepun sementara menunggu pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat (AS), lewat hari ini.

“Pasaran China ditutup bersempena cuti Minggu Keemasan dan begitu juga pasaran di Hong Kong dan India yang juga tidak beroperasi kerana cuti,” katanya.

Menilai persekitaran domestik, firma pembrokeran itu menjangkakan pasaran kekal berhati-hati berikutan perkembangan faktor luaran seperti ketidaktentuan dasar monetari bank pusat global serta wujudnya tekanan inflasi.

“Meskipun dalam keadaan berhati-hati ini, indeks penanda aras itu sebaliknya dilihat dalam kedudukan terlebih jualan yang boleh menarik aktiviti memburu saham-saham berharga rendah pada masa terdekat ini.

“Berikutan itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,415 hingga 1,430 minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,415, dan rintangan pada 1,460,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, kaunter wajaran tinggi seperti Maybank rugi empat sen kepada RM8.75, CIMB susut tiga sen kepada RM5.40, Tenaga Nasional turun sembilan sen kepada RM9.90, Petronas Chemicals merosot 12 sen kepada RM7.07 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.06.

Saham aktif menyaksikan KNM menokok 1.5 sen kepada 14 sen, Widad tidak berubah pada 51 sen, Evergreen Max Cash turun satu sen kepada 41.5 sen dan UEM Sunrise merosot 3.5 sen kepada 81 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 43.36 mata kepada 10,538.90, Indeks FBMT 100 turun 40.15 mata kepada 10,204.35 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 51.38 mata kepada 10,823.14.

Indeks FBM ACE berkurangan 29.13 mata kepada 5,146.11 dan Indeks FBM 70 susut 61.02 mata kepada 14,132.25.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan turun 27.21 mata kepada 6,853.14, Indeks Produk Perindustrian susut 1.06 mata kepada 170.43 dan Indeks Tenaga berkurangan 5.16 mata kepada 888.58.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.06 mata kepada 15,876.11.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.75 bilion unit bernilai RM1.51 bilion daripada 1.83 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada dagangan Jumaat.

Perolehan waran merosot kepada 201.25 juta unit bernilai RM19.08 juta berbanding 351.67 juta unit bernilai RM44.33 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE jumlah dagangan mencatat 1.02 bilion saham bernilai RM266.77 juta daripada 845.43 juta saham bernilai RM280.84 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 278.97 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (359.53 juta); pembinaan (121.77 juta); teknologi (84.74 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (74.78 juta); hartanah (272.15 juta); perladangan (71.66 juta); REIT (11.01 juta), dana tertutup (86,100); tenaga (306.09 juta); penjagaan kesihatan (50.91 juta); telekomunikasi dan media (35.44 juta); pengangkutan dan logistik (55.34 juta) serta utiliti (36.88 juta). – Bernama

Sumber