Alumni TUBE Sarawak berjaya mengumpul RM9.6 juta

Alumni TUBE Sarawak berjaya mengumpul RM9.6 juta

Rizal (dua dari kiri) bersama Dr Ripin (tengah) pada satu sesi temu mesra di Sarawak pada Ahad.

Rizal (dua dari kiri) bersama Dr Ripin (tengah) pada satu sesi temu mesra di Sarawak pada Ahad.

ALUMNI Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM9.6 juta daripada RM154.38 juta terkumpul oleh peserta dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy berkata, sejak ia mula dilancarkan pada 2014 sehingga kini, seramai 7,238 usahawan berjaya dilatih di bawah program berkenaan dengan geran perniagaan berjumlah RM101.40 juta.

“Daripada jumlah itu, seramai 728 atau 10 peratus peserta adalah dari negeri Sarawak, melibatkan penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM10.12 juta.

“Berbanding negeri lain, Sarawak mempunyai bilangan peserta kedua tertinggi selepas Sabah. Kini, seramai 7,041 penglibatan dalam TUBE mendaftarkan perniagaan masing-masing dan berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam satu sesi temu mesra pada Ahad.

Para peserta bergambar kenangan pada sesi temu mesra bersama Alumni TUBE 2023 Sarawak.

Para peserta bergambar kenangan pada sesi temu mesra bersama Alumni TUBE 2023 Sarawak.

Dalam majlis tersebut, Rizal berkata, SME Corp dengan kerjasama Persatuan Tunas Usahawan Bumiputera Kenyalang (KITA) menganjurkan program berkenaan dan berhasil mengumpulkan hampir 100 bekas peserta.

“Ia bertujuan untuk menggalakkan mereka berumur 18 hingga 30 tahun yang mempunyai kemahiran, sijil daripada institusi pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menceburi bidang perniagaan.

“Peserta juga diberikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan bagi tujuan mengembangkan perniagaan, perkongsian kisah kerjaya perniagaan Alumni TUBE di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan dalam kalangan peserta,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), Dr Ripin Lamat, melalui pelbagai aktiviti keusahawanan belia tersebut, kerajaan pusat atau kerajaan negeri dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus membasmi kadar pengangguran di Sarawak.

“Selain itu, saya menggesa usahawan belia Sarawak untuk terus menerokai pelbagai bidang terutamanya industri pertumbuhan tinggi (high growth industry) pada masa hadapan seperti bidang peranti perubatan, aeroangkasa, bioteknologi, dan sebagainya,” ulasnya.

Sumber