Ringgit rendah berbanding dolar AS

Ringgit rendah berbanding dolar AS

Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat apabila mata wang negara maju itu mengukuh selepas pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih positif bagi suku kedua 2023. - Gambar hiasan

Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat apabila mata wang negara maju itu mengukuh selepas pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih positif bagi suku kedua 2023. – Gambar hiasan

RINGGIT susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat apabila mata wang negara maju itu mengukuh selepas pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih positif bagi suku kedua 2023.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.5490/5525 berbanding dolar AS daripada 4.5215/5260 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengumuman data KDNK AS semalam menunjukkan ekonominya kekal berdaya tahan biarpun mengalami kenaikan kadar faedah secara besar-besaran sejak tahun lepas.

“Data KDNK bagi suku kedua 2023 itu mencatat kenaikan 2.4 peratus berbanding jangkaan awal pada 1.8 peratus manakala tuntutan pengangguran juga turun kepada 221,000 minggu lepas — lebih rendah berbanding jangkaan pasaran sebanyak 235,000.

“Berikutan itu, Indeks Dolar AS meningkat sebanyak 0.88 peratus kepada 101.77 mata,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau menjangkakan ringgit di paras RM4.52 hingga RM4.53 hari ini berikutan pasaran terus memantau sama ada Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah utamanya dengan lebih ketara berikutan data yang lebih baik daripada jangkaan awal.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.2619/2646 daripada 3.2285/2319 pada Khamis, namun meningkat berbanding euro kepada 4.9948/9986 daripada 5.0374/0424 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8186/8231 daripada 5.8685/8743 semalam.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4170/4198 daripada 3.4163/4200.

Unit tempatan itu rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 303.2/303.6 daripada 301.3/301.8 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.32 daripada 8.28/8.30 semalam.

Namun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1702/1861 daripada 13.2634/2829, sebelum ini. – Bernama

Sumber