MGB jalin kerjasama baharu di Arab Saudi

MGB jalin kerjasama baharu di Arab Saudi

MGB Berhad (MGB), subsidiari LBS Bina Group Berhad (LBS) telah mengumumkan anak syarikatnya, MGB International for Industry (MGBI) memeterai perjanjian usaha sama dengan SANY Alameriah Industrial (SA), yang merupakan cawangan kepada SANY Alameriah For Construction Co. Ltd (JVA).

Perjanjian kerjasama itu merupakan rentetan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 13 Januari 2023 di Riyadh, Arab Saudi.

MGB dalam satu kenyataan berkata, MGBI akan mengendalikan kilang konkrit pratuang SA yang terletak di Al Lith RD, Bandar Perindustrian ketiga Jeddah, Arab Saudi bagi pengeluaran dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk memenuhi Kontrak Pembekalan dan Pemasangan.

“Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 810,000 meter padu (m3) untuk tiga tahun. Di bawah terma perjanjian tersebut, SA komited untuk menyediakan 270,000 m3 produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga tahun, dengan jumlah pesanan minimum sebanyak 90,000 m3 pada tahun pertama,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kadar pasaran semasa untuk produk konkrit pratuang di Arab Saudi adalah di dalam lingkungan Saudi Riyal (SAR) 1,800 sehingga 2,200 setiap m3.

“Ini merupakan projek antarabangsa pertama MGB dan masa yang tepat bagi syarikat menembusi pasaran pembangunan hartanah dan sektor perumahan di Arab Saudi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Arab Saudi telah melakukan pembaharuan yang ketara seperti Program Perumahan Saudi yang diperkenalkan pada tahun 2018, selaras dengan Wawasan Kerajaan 2030, dengan matlamat untuk meningkatkan kebolehcapaian terhadap perumahan mampu milik, berkualiti, selamat di lokasi yang baik bagi meningkatkan pemilikan rumah rakyat kepada 70 peratus menjelang tahun 2030.

“Ini memberikan kelebihan kepada pihak MGB berdasarkan pengalaman mereka di dalam membina perumahan mampu milik secara besar-besaran dan berpotensi untuk memperoleh kontrak-kontrak lain pada masa hadapan.

“MGBI yakin untuk memperluaskan sayapnya di rantau ini, sekali gus sedang membuat persiapan bagi memulakan operasi perniagaannya di sana,” kata kenyataan itu.

Hock San

Hock San

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, LBS telah melakukan pelbagai inovasi dan memperhalusi lagi cara pengeluaran produk konkrit pratuang IBS dan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam pembinaan dan perniagaan pembuatan konkrit pratuang di peringkat antarabangsa.

“Kami teruja dengan perkembangan operasi ke Arab Saudi. Setakat ini, kerjasama kami dengan Kumpulan SANY di Malaysia untuk pembuatan produk konkrit pratuang IBS telah berhasil dan kami optimis untuk mengukuhkan usaha sama dengan kerajaan Arab Saudi.

“Kami amat berterima kasih kepada Kumpulan SANY di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap syarikat,” kata Hock San.

Sumber