Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

BURSA Malaysia tinggi pada rehat tengah hari ini berikutan minat belian yang diselang-seli dengan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.95 mata kepada 1,452.22 daripada 1,451.27 semalam.

Indeks utama dibuka rendah 3.06 mata kepada 1,448.21 dan bergerak antara 1,446.46 dan 1,454.24 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 448 berbanding 318 manakala 385 kaunter tidak berubah, 1,155 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.64 bilion unit bernilai RM949.41 bilion.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan kekal optimis berikutan pelancaran rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) untuk meningkatkan ekonomi.

“Kami menjangka pemberian tunai dan kredit di bawah Ekonomi Madani akan memberikan rangsangan kepada sektor produk dan perkhidmatan pengguna. Sektor pembangunan hartanah akan didorong oleh skim pinjaman RM5 bilion untuk memudahkan pembelian rumah pertama,” katanya.

Sementara itu, katanya pelancaran NETR dijangka mendorong minat dagangan untuk saham berkaitan tenaga boleh baharu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.14, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM6.86 manakala Maybank, CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing tidak berubah pada RM8.99, RM5.50 dan RM9.60.

Daripada saham aktif, KNM Group meningkat setengah sen kepada sembilan sen, UEM Sunrise naik 1.5 sen kepada 50 sen, Capital A dan AT Systematization, masing-masing tidak berubah pada 91.5 sen dan satu sen manakala Hong Seng Consolidated merosot setengah sen kepada lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 12.68 mata kepada 13,964.40, Indeks FBM Emas meningkat 6.98 mata kepada 10,668.36, Indeks FBMT 100 menambah 7.39 mata kepada 10,356.55 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 1.40 mata kepada 10,928.06 dan Indeks FBM ACE merosot 28.21 mata kepada 5,303.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 29.00 mata kepada 16,193.88 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.63 mata kepada 167.73 manakala Indeks Perladangan merosot 48.66 mata kepada 7,156.89 dan Indeks Tenaga berkurangan 2.85 mata kepada 833.84. – Bernama

Sumber