PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melakar satu lagi kejayaan bermakna apabila menyerahkan sebanyak 1,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 kepada pelanggan dalam tempoh sehari pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Acara tersebut diadakan di 74 pusat 3S/4S Proton di serata negara pada 2 Februari lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata para pelanggan terbabit turut diberi taklimat mengenai keunikan SUV pertama syarikat itu selain diajar menggunakan ciri-ciri tersebut.
“Taklimat secara komprhensif itu dilakukan oleh pengurus pasca jualan di setiap cawangan terbabit bagi memberi pemahaman lebih terperinci mengenai kenderaan tersebut.
“Ini bagi memastikan pemilik kenderaan itu dapat memaksimumkan keseronokan pemanduan masing-masing dengan memanfaatkan ciri-ciri keselesaan, kemudahan dan keselamatan yang disediakan oleh X70,” kata Proton. – Bernama