Demi untuk cantik, wanita di negara ini sanggup memasang pendakap gigi palsu dengan doktor yang tidak bertauliah atau fake dentist.
Kelakarnya, proses pemasangan bukan dilakukan di klinik pergigian, sebaliknya di rumah doktor palsu itu. Ada juga dilaporkan menjalankan ‘kerja jahat’ itu di dalam hotel dan di kereta! Terdesak sungguh bukan?
Tahukah kenapa sesetengah wanita memilih perkhidmatan melalui ‘jalan gelap’? Ya, sebab murah. Harga yang dicaj sekitar RM200 hingga RM650 sahaja.
Alasan mereka jelas, mahu nampak cantik dan unik di depan mata orang. Impak negatif seperti gigi mungkin rosak atau reput tidak dipedulikan pun. Ini yang dikatakan ‘tiada penyakit, cari penyakit’!
Risiko
Mengulas obsesi menakutkan itu, bekas Presiden Persatuan Doktor Pergigian Swasta Malaysia, Dr V Nedunchelian berkata, kesan negatif pemakaian pendakap palsu tidak menunjukkan perubahan drastik.
“Namun, apabila makanan yang dimakan terselit di celah-celah gigi, itu adalah petanda awal.
“Mereka juga akan berdepan dengan penyakit radang gusi. Ia akan menjadi bertambah buruk apabila mereka juga berisiko kehilangan tulang rahang sekaligus menyebabkan gigi mudah goyang dan tanggal,” jelasnya sambil memberitahu kecenderungan memakai pendakap gigi terarah kepada kaum Hawa.
Selain itu, si pemakai juga terdedah kepada bakteria apabila peralatan untuk memasang pendakap gigi tidak disteril.
“Doktor selalunya membuat kerja semberono. Doktor gigi palsu biasanya tidak guna sarung tangan. Contohnya, apabila mereka mengurus beberapa pelanggan dalam satu masa, bakteria yang terdapat pada pesakit boleh berjangkit kepada pesakit lain,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang pergigian.
Apabila berlaku pemindahan bakteria, seseorang boleh ditimpa penyakit bersilang yang boleh dikaitkan dengan HIV (jika pesakit mempunyai HIV) dan hepatitis B!
Sebenarnya, sebagai seorang pakar pergigian, Nedunchelian kecewa dengan lambakan doktor gigi palsu.
“Saya ada buat siasatan dalam laman sosial. Kebanyakan mereka tawarkan khidmat di laman WeChat pada harga semurah RM200.
“Ada satu kes yang mana satu doktor itu kenakan caj RM600 untuk pasang pendakap gigi. Bayangkan, dalam satu hari, dia dapat 10 pelanggan. Dengan mudah, dia untung atas angin. RM6,000 bukan jumlah kecil,” kongsinya.
Bagaimana mahu mengawal pakar-pakar tidak bertauliah itu?
Memang sukar! Berdasarkan pemerhatian, golongan ini membeli peralatan pergigian secara online.
“Semuanya mudah dibeli menerusi perniagaan atas talian. Sebenarnya, peralatan perubatan dan pergigian dikawal selia oleh Medical Devices Authority (MDA) yang terletak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagaimanapun, bila ia dijual secara atas talian, tiada sesiapa dapat kawal,” katanya.
Boleh kurus?
Stigma masyarakat selalunya berfikir, jika memakai pendakap gigi, seseorang itu boleh kurus kerana tiada selera makan. Sejauhmana dakwaan itu benar?
Nedunchelian berkata, dia pernah berdepan dengan situasi berkenaan.
“Ya, memang pada bulan pertama hingga kedua ada berlaku pengurangan berat badan antara satu hingga dua kilogram kerana mereka sukar nak makan.
“Pun begitu, saya tidak galakkan jika ada individu mempunyai niat tersebut memandangkan rawatan ini bukan berfungsi untuk menurunkan berat badan, sebaliknya ia dapat membaiki struktur dan susunan gigi,” katanya.
Ujar beliau lagi, rawatan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan bukan semata-mata mengikut fesyen pendakap gigi yang semakin menjadi trend dalam kalangan anak-anak muda kini.