DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dengan kerjasama Gibraltar BSN Life Bhd (Gibraltar BSN) melancarkan Dengue Cover+, sebuah pelan perlindungan digital denggi dan zika mampu milik serta insurans hayat.
Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, Dengue Cover+ adalah pelan perlindungan digital yang ditawarkan secara eksklusif kepada semua pelanggan pasca bayar serta prabayar Digi di Malaysia berumur antara 18 hingga 45 tahun menerusi pendaftaran mudah secara dalam talian.
Menurutnya, mengikut maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan, pelanggan di kawasan berisiko tinggi denggi akan menerima notis pemberitahuan daripada Digi.
“Pelan insurans digital ini boleh didapati dengan harga serendah RM0.15 sen sehari yang menawarkan manfaat tunai hospital, manfaat kematian serta manfaat hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD) termasuklah manfaat tambahan sekiranya pelanggan mengalami denggi atau zika.
“Premium akan dimasukkan terus ke akaun Digi mereka. Pemohon juga tidak perlu menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan. Usaha sama dengan Gibraltar BSN ini membuka peluang kepada Digi untuk menawarkan insurans digital tersebut dan melindungi mereka dengan pemberitahuan maklumat kesihatan terkini,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN, Rangam Bir berkata, pelanggan Digi dapat menambah perlindungan insurans hayat mereka yang sedia ada dengan Dengue Cover+ pada kadar premium yang berpatutan.
“Ini adalah peluang untuk kami melindungi kumpulan demografi lebih luas di samping merapatkan jurang perlindungan dengan melancarkan produk yang ringkas, mampu milik dan relevan,” katanya.Menurut KKM terdapat 3,223 kes denggi direkodkan pada minggu kelima 2019, iaitu peningkatan 3.1 peratus daripada minggu sebelumnya yang mencatat 3,127 kes.
Ini menunjukkan jumlah kes denggi pada 2019 adalah 15,469 dengan 25 kematian kumulatif yang berkaitan dengan virus tersebut.