Penyanyi dan penulis lagu Malaysia, Zee Avi, melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan kerjaya seninya selepas menjalinkan kerjasama strategik bersama Sony Music Publishing Indonesia, sekali gus membuka peluang untuk memperluas pengaruh muziknya di rantau Asia Tenggara. Kerjasama ini turut memperkukuh hubungan kreatif antara industri muzik Malaysia dan Indonesia, selain memberi ruang kepada Zee Avi untuk mengembangkan karya serta kolaborasi bersama pemuzik dari negara jiran. Selepas lebih sedekad mencipta nama di pentas muzik antarabangsa menerusi karya seperti Bitter Heart, Zee Avi melihat kerjasama tersebut sebagai langkah semula jadi selepas bertahun-tahun menerima sokongan daripada peminat Indonesia. Kehadiran beliau di pasaran Indonesia juga diperkukuh menerusi pencapaian sebagai penerima Best Original Theme Song di 53rd Taipei Golden Horse Awards pada 2016 menerusi lagu Arena Cahaya, runut bunyi filem Ola Bola. Menurut Zee Avi, muzik mempunyai keupayaan untuk merapatkan hubungan antara manusia tanpa mengira sempadan. Beliau percaya kerjasama bersama Sony Music Publishing Indonesia dapat membuka ruang untuk memperkenalkan karya kepada khalayak yang lebih luas, di samping mengekalkan identiti kreatifnya sebagai artis dan penulis lagu. Kerjasama itu turut melibatkan kumpulan Zee Avi And The Good Things yang dianggotai Zee Avi sebagai vokalis dan komposer, Yuswa Ansari sebagai pemain keyboard serta Raja Farouk sebagai pemain bass. Menerusi kolaborasi ini, Zee Avi berharap dapat membina lebih banyak hubungan dengan penulis lagu dan pemuzik Indonesia, selain meneroka peluang pertukaran idea kreatif yang mampu menyumbang kepada perkembangan industri muzik serantau. Penyanyi yang nama sebenarnya Izyan Alirahman, 40, itu turut teruja dengan perancangan untuk menyertai sesi penulisan lagu dan kolaborasi yang disusun oleh Sony Music Publishing Indonesia. Baginya, setiap kerjasama baharu merupakan peluang untuk mempelajari sesuatu yang berbeza serta berkembang sebagai seorang penulis lagu. Dalam masa sama, Zee Avi menyatakan hasrat untuk meluangkan lebih banyak masa di Indonesia menerusi persembahan secara langsung, pertemuan bersama peminat dan kolaborasi dengan pemuzik tempatan. Beliau turut berkongsi bahawa beberapa perbincangan berkaitan persembahan di Indonesia sedang berlangsung dan berharap dapat kembali beraksi di pentas negara tersebut dalam masa terdekat. Zee Avi juga optimis bahawa persamaan budaya antara Malaysia dan Indonesia menjadi salah satu kekuatan dalam menghubungkan muzik kedua-dua negara. Walaupun sebahagian besar karya beliau menggunakan bahasa Inggeris, penyanyi yang turut dikenali menerusi lagu berbahasa Melayu seperti Kantoi itu percaya bahawa emosi dan kejujuran dalam sesebuah karya mampu merentasi perbezaan bahasa. Sementara itu, Pengarah Sony Music Publishing Indonesia, Damajanti Ariandini, berkata kerjasama tersebut didorong oleh reputasi Zee Avi sebagai penulis lagu berbakat dengan pengalaman kerjaya yang kukuh di peringkat antarabangsa. Menurutnya, hasrat Zee Avi untuk bekerjasama dengan penulis lagu Indonesia turut selari dengan usaha Sony Music Publishing Indonesia untuk memperluas kolaborasi bersama artis dan penulis lagu dari Malaysia. Pengurus A&R & Kreatif Sony Music Publishing Indonesia, Ivan Ardihernawan, pula berkata kerjasama itu direalisasikan menerusi rangkaian global Sony Music Group yang menghubungkan kedua-dua pihak. Pihaknya kini merancang untuk mempertemukan Zee Avi dengan penulis lagu di bawah naungan Sony Music Publishing Indonesia bagi menghasilkan karya yang mempunyai nilai artistik serta berpotensi menarik perhatian pendengar di kedua-dua pasaran. Kerjaya Zee Avi sememangnya memiliki rekod pencapaian yang membanggakan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Selain menerima pengiktirafan Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) daripada Kerajaan Sarawak, album sulungnya yang diterbitkan pada 2009 turut disenaraikan oleh The Associated Press sebagai antara 10 album terbaik tahun tersebut dan mencatat jualan lebih 300,000 unit serta menerima pensijilan emas di beberapa negara Asia. Pengaruh muzik Zee Avi juga pernah menembusi pasaran Hollywood apabila lagu Swell Window dimuatkan dalam runut bunyi filem 21 Jump Street pada 2012 yang dibintangi Jonah Hill dan Channing Tatum. Karya-karyanya turut digunakan dalam beberapa kempen pengiklanan antarabangsa, termasuk Walmart di Amerika Syarikat, membuktikan keupayaannya untuk terus mencipta ruang di pentas muzik global. Dengan kerjasama strategik bersama Sony Music Publishing Indonesia, Zee Avi kini bersedia membuka lembaran baharu dalam perjalanan kreatifnya. Usaha ini bukan sahaja berpotensi memperluas katalog dan jaringan muziknya di Indonesia, malah menjadi jambatan kepada lebih banyak kolaborasi rentas sempadan yang dapat mengeratkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia. Post navigation MARSHA MILAN TIDAK SABAR UNTUK BERAKSI DI KONSERT UNGU!