YB GOBIND KONGSI KECERIAAN RAMADAN BERSAMA WARGA POS MALAYSIA

YB GOBIND KONGSI KECERIAAN RAMADAN BERSAMA WARGA POS MALAYSIA

Kuala Lumpur, Rabu — Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menganjurkan Majlis Mesra Ramadan bagi warga Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional (PMN), Shah Alam, hari ini. Majlis ini lebih bermakna dengan kehadiran YB Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Penganjuran Majlis Mesra Ramadan memberi peluang kepada YB Menteri untuk beramah-mesra dengan posmen-posmen dan kakitangan kurier Pos Laju yang berdedikasi, selain merasai sendiri pengalaman menyeluruh proses kerja yang terlibat. Inisiatif ini akan menaikkan semangat dan motivasi warga Pos Malaysia dalam mendepani cabaran semasa memproses dan menghantar barangan dalam tempoh masa yang ditetapkan kepada para pelanggan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, selari dengan Slogan ‘Kami Menyampaikan Pakej Keceriaan’.

“Ini merupakan masa yang tepat untuk kami berkongsi dan memupuk kesedaran kepada orang awam tentang operasi menyeluruh dan rutin harian kami di Pusat Parcel Bersepadu (IPC) selain mengetengahkan komitmen tidak berbelah bahagi posmen dan kakitangan kurier kami dalam mengendali serta mengirim item pelanggan di dalam serta luar negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada semua staf kami terutamanya posmen dan kakitangan kurier atas segala kerja keras dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab selain memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan seperti bermuhasabah diri, memanjangkan rasa kesyukuran serta berkongsi rahmat menerusi amalan bersedekah dan berbuat baik antara satu sama Iain.

IPC yang terletak bersebelahan PMN merupakan pusat pemprosesan barangan terbesar di Malaysia dengan keupayaan memproses 500,000 item sehari. Jumlah ini boleh meningkat sehingga hampir 50 peratus pada waktu puncak sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *