GOMBAK – Program World #QuranHour menjadi salah satu punca barakah kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan selain mencambahkan lagi ilmu serta program lain termasuk #QuranConvention yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Rektor UIA, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.
Menurutnya, jika pengajaran ilmu dibuat di universiti berkenaan, secara tidak langsung, terdapat 30,000 pelajar UIA celik al-Quran sekali gus melahirkan masyarakat yang beralurkan Islam.
“Pendekatan yang dilakukan dengan menerapkan kokurikulum iaitu ‘Memanusiakan Ummah’ iaitu cara untuk melahirkan insan, sebelum mereka bergelar doktor, jurutera atau karier lain.
“Program ini menyepi selama tiga tahun, namun saya mengucapkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf kerana memilih Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM sebagai lokasi majlis,” katanya pada sidang media selepas program World #QuranHour 2023 pada Khamis.
Dalam program tersebut, Dr Dzulkifli berkata, seramai tujuh duta luar negara hadir iaitu Turkiye, Iran, Yemen, Bosnia, Sinegal, Azerbaijan dan Libya.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli di majlis tersebut bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.
World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ini merupakan kemunculan kedua Tunku Azizah yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.
Program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.