Wanita pemakan jantung akhirnya memeluk Islam

Wanita pemakan jantung akhirnya memeluk Islam

  • June 11, 2019
  • 0 comments

KISAH Hindun binti ‘Uthbah menguyah mentah-mentah hati Saidina Hamzah RA yang syahid di dalam peperangan Uhud barangkali masih tersemat dalam ingatan kita.

Benar, perbuatan wanita itu memang dilihat kejam dan menimbulkan kepahitan dalam jiwa kita sehinggakan mendapat panggilan ‘wanita pemakan jantung’.

Namun, itu kisahnya ketika zaman jahiliah tetapi hidayah ALLAH tiada siapa yang tahu.

Hindun akhirnya menemui jalan yang lurus apabila memeluk Islam pada hari pembebasan kota Makkah.

Ibn Sa’ad dalam catatan Thabaqatnya menyatakan: “Pada hari pembebasan kota Makkah, Hindun binti ‘Utbah masuk Islam bersama wanita-wanita lain.

“Mereka datang kepada Rasulullah SAW yang waktu itu sedang berada di sungai yang berpasir dan berkerikil, lalu mereka berbai’ah kepada baginda SAW…”

Diceritakan bahawa Hindun sebenarnya sudah lama berniat untuk berserah diri kepada ALLAH SWT tetapi beliau takut kepada Rasulullah SAW lantaran pernah melakukan perkara tidak sepatutnya terhadap jasad Saidina Hamzah sebelum itu.

Bagaimanapun, ketika peristiwa Fath Makkah, pada saat umat Islam berjaya memasuki kota suci itu, suami Hindun, Abu Sufyan bin Harb menyatakan keislamannya.

Hindun pula berkira-kira kerana ragu-ragu terhadap apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau khuatir akan dibunuh apabila masuk Islam memandangkan pernah melakukan perbuatan kejam.

Namun, ketika kali pertama beliau menyaksikan kaum Muslimin menunaikan solat di sekitar Kaabah setelah menakluk kota Makkah, hatinya begitu terpaut dengan keindahan Islam itu sendiri.

Kesungguhan Hindun memegang ajaran Islam memang tidak boleh disanggah.

Usai berbai’ah kepada Rasulullah SAW, beliau menjumpai patung pada salah satu tiang rumahnya.

Lalu, dihampiri patung itu dengan sangat marah seolah-olah tidak mahu melihatnya sejak saat tersebut.

Beliau lantas mengambil kapak dan memotongnya berkeping-keping dan berkata: “Kami dahulu tertipu kamu! Kami dahulu tertipu kerana kamu!”

Begitulah kisah Hindun, wanita yang mempunyai kedudukan mulia di mata kaumnya sama ada ketika hidayah belum ‘menyentuhnya’ dan sesudah memeluk Islam.

Keteguhan keperibadian telah mengotori dirinya pada zaman jahiliah sebelum memeluk Islam, namun kekuatan keperibadian itu jugalah yang menghiasi dirinya dengan sinar Islam setelah beliau mendapat hidayah ALLAH.

(Sumber: Dr Khalid Muhammad Khalid)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge