Usah pandang ringan virus influenza

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Soalan 1:

DOKTOR, sejak kebelakangan ini, ramai mengeluh mengenai kes jangkitan wabak influenza terutama melibatkan kanak-kanak.

Justeru, saya ingin bertanya, adakah virus influenza tersebut berlaku secara bermusim?

Bagaimana ingin membezakannya dengan selesema biasa?

– INGIN TAHU, ZAIDI OTHMAN, 35, KLANG, SELANGOR.

Jawapan :

TERIMA kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan pihak tuan, demam, batuk dan selesema merupakan masalah yang biasa berlaku sepanjang tahun.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengamal perubatan, masalah itu merangkumi 60 peratus dilema yang dihadapi oleh pesakit di Jabatan Pesakit Luar di mana-mana hospital. Untuk menjawab pertanyaan tuan, virus flu, sifatnya tidak bermusim dan boleh berlaku sepanjang tahun. Jangkitan virus influenza pula sebaliknya bermusim.

Di negara ini, trend menunjukkan, wabak influenza dikesan sekitar bulan bulan November atau Disember hingga Februari atau Mac.

Tuan, terdapat perbezaan klinikal yang ketara antara kedua-dua jangkitan virus tersebut. Jangkitan virus biasa atau flu, tidak diklasifikasikan sebagai berbahaya kerana ia datang dan pergi dalam masa lima hingga tujuh hari.

Antara tanda-tanda jangkitan seperti demam, sakit kepala, sakit badan, letih, tidak bermaya dan biasanya tidak terlalu teruk.

Begitu juga dengan rasa sakit tekak, batuk dan sukar bernafas kerana ia tidak melibatkan saluran pernafasan bahagian yang dalam seperti trakea, brokus dan paru-paru.

Namun, bagi pesakit yang mempunyai masalah daya tahan seperti pesakit diabetes dan lain-lain, mereka mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Agresif

Pun demikian, jangkitan virus influenza berbeza.

Mengapa?

Ia disebabkan virusnya sangat agresif menyebabkan ia mudah merebak dan mangsa jangkitan menjadi sangat sengsara.

Masakan tidak, mereka mengalami masalah demam yang tinggi dan berulang, sakit kepala yang kuat termasuk sakit badan yang adakalanya tidak tertanggung, sakit tekak dan batuk.

Apa yang selalu kita lihat, mangsa juga menjadi sangat letih selepas beberapa hari dijangkiti. Jika tidak dirawat segera, pesakit berkemungkinan akan mengalami masalah sukar bernafas akibat penyakit pneumonia dan tidak sedarkan diri.

PASTIKAN anda tahu perbezaan antara influenza dan selesama biasa.

PASTIKAN anda tahu perbezaan antara influenza dan selesama biasa.

Mereka yang berada pada tahap itu, perlu dirawat di unit rawatan rapi pada kadar segera. Pada kebiasaannya, jika pesakit yang datang ke klinik akibat batuk, selsema dan demam, doktor akan menjalani pemeriksaan darah menggunakan influenza kit yang mengesan antibodi yang melawan virus dalam darah.

Jika positif, bermakna pesakit sedang berhadapan jangkitan virus dan ubat antivirus akan diberikan. Pun demikian jika sebaliknya, pesakit akan terus dirujuk ke hospital.

Soalan 2:

Doktor, saya ingin bertanya, selalunya vaksin influenza yang telah diambil boleh bertahan berapa lama di dalam tubuh badan kita?

Adakah jenis vaksin untuk ibu hamil, kanak-kanak, warga emas dan orang dewasa adalah sama?

Mohon penjelasan daripada doktor.

– IBU CAKNA, ZULAIKHA IZHAM, 31, GOMBAK, SELANGOR.

Jawapan :

Puan, jika diamati, mengikut peraturan, vaksin influenza perlu diambil pada setiap tahun.

Namun, saya mencadangkan ia diambil apabila adanya keperluan dan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti.

Puan, vaksin yang sama perlu diberikan kepada semua peringkat umur dan sangat disyorkan untuk semua individu yang berusia enam bulan ke atas.

Namun, pada pandangan peribadi saya, vaksin influenza diperlukan setiap tahun kerana virus mampu bermutasi dan mengelirukan sistem daya tahan yang baru.

Oleh itu, formulasi vaksin yang berbeza diperlukan untuk merangsang pembentukan antibodi yang baru.

DR Zubaidi Ahmad.

DR Zubaidi Ahmad.

PROFIL

Dr Zubaidi Ahmad

Pengamal Perubatan Am

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM)

Sumber