Universal Music Malaysia (UMM), anak syarikat kepada Universal Music Group (UMG) yang merupakan peneraju global dalam hiburan berasaskan muzik, telah mengumumkan satu langkah strategik yang penting dalam landskap industri muzik tempatan. UMM kini secara rasmi memperoleh pegangan majoriti dalam Faithful Music, sebuah label rakaman dan syarikat produksi tempatan yang kian berkembang sejak diasaskan oleh penyanyi dan penerbit tersohor Faizal Tahir bersama Mike Chan pada tahun 2015. Perkongsian ini bukan sekadar menyatukan dua kuasa muzik berpengaruh di Malaysia, malah membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas capaian artis tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Langkah ini akan mengukuhkan kedudukan UMM sebagai antara penyedia kandungan muzik terkemuka di Malaysia dan rantau Nusantara yang merangkumi Singapura serta Indonesia. Melalui perjanjian ini, Universal Music Malaysia turut akan bertindak sebagai pengedar eksklusif untuk keseluruhan katalog muzik Faithful Music, termasuk karya-karya popular seperti “Santai”, “Alamak Raya Lagi” dan “Angau” yang telah mencorakkan identiti muzik kontemporari tempatan.
Bagi Faizal Tahir, perkongsian ini menandakan satu pengiktirafan terhadap visi dan nilai yang diperjuangkan Faithful Music sejak awal penubuhannya. “Kami menubuhkan Faithful Music berlandaskan kepercayaan bahawa setiap artis berhak mendapat ruang dan peluang yang berkualiti untuk berkembang. Kerjasama ini memberikan kami kekuatan tambahan untuk terus menyokong dan memperkasa artis kami dengan lebih efektif, di samping memperluas jangkauan karya mereka kepada lebih ramai pendengar,” katanya.
Sementara itu, Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia menyifatkan kolaborasi ini bukan sekadar pelaburan strategik, malah satu komitmen jangka panjang terhadap pembangunan bakat tempatan. Beliau menekankan bahawa inisiatif ini selari dengan perancangan UMM untuk memperluaskan segmen muzik positif dan kanak-kanak, serta memperkukuh peranan mereka sebagai agensi sehenti yang mampu memenuhi keperluan rakan jenama dan rakan kreatif. “Kami percaya, Faizal, Mike dan pasukan Faithful berkongsi semangat sama dengan kami dalam menghasilkan karya-karya ikonik dan bermakna. Inilah masa paling sesuai untuk membuka lembaran baharu bersama,” tambah Kim.
Kerjasama ini juga adalah hasil kejayaan beberapa kolaborasi terdahulu antara UMM dan Faithful Music. Antaranya lagu “Raya Pum Pang” yang mencatat lebih sejuta tontonan dalam masa dua minggu di YouTube, dan lagu “Memang Smart AYE” yang menampilkan gabungan artis dari kedua-dua label seperti Insomniacks, Sabronzo (DOLLA), Aziz Harun dan Killa Driz. Lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif tetapi turut digunakan dalam kempen komersial berskala besar untuk jenama antarabangsa seperti Samsung Malaysia.
Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara dan Naib Presiden Kanan Asia, turut menyambut baik kemasukan Faithful Music ke dalam keluarga besar Universal Music. “Kami berbesar hati menerima label ini yang kaya dengan bakat-bakat muda dan berpotensi tinggi. Gabungan kekuatan ini akan memberi nafas baharu bukan sahaja kepada pasaran Malaysia, tetapi juga ke seluruh rantau Nusantara yang kini semakin pesat berkembang. Kami tidak sabar untuk mempersembahkan artis-artis hebat ini kepada dunia melalui rangkaian kami yang luas dan kukuh.”
Dengan kerjasama ini, Universal Music Malaysia dan Faithful Music bersedia mencipta lebih banyak peluang komersial dan kreatif untuk artis-artis mereka serta terus memperkasa muzik tempatan agar dapat bersaing secara global tanpa menjejaskan jati diri dan keaslian karya mereka. Ia juga memperlihatkan tekad bersama untuk mengangkat muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, sambil terus melabur dalam bakat masa depan yang bakal mencorakkan industri muzik serantau.