TV AlHijrah terus memacu kecemerlangan operasinya dengan melancarkan 15 buah kenderaan baharu yang bakal memperkukuh keupayaan logistik dan liputan stesen penyiaran Islam ini. Majlis Pelepasan Kenderaan TV AlHijrah telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di perkarangan ibu pejabat TV AlHijrah, Kuala Lumpur.
Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada strategi penstrukturan semula aset operasi yang telah digunakan sejak penubuhan stesen lebih satu dekad lalu. Ia turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris, barisan Ahli Lembaga Pengarah, Pengarah JAWI serta warga kerja stesen.
Menurut Tuan Haji Namanzee, penggantian ini bukan sekadar melibatkan pengangkutan, tetapi mencerminkan iltizam baharu TV AlHijrah dalam membawa transformasi menyeluruh dari aspek nilai, profesionalisme dan strategi penyampaian. “Kenderaan ini adalah simbol kepada semangat kerja yang lebih efisien, responsif dan berdaya saing, seiring dengan peranan kami sebagai peneraju penyiaran Islam moden,” jelas beliau.

Kenderaan ini akan diguna pakai oleh jabatan utama seperti Jabatan Berita & Editorial, Kandungan dan Teknikal. Ia bakal meningkatkan keupayaan pasukan TV AlHijrah dalam menyampaikan laporan serta program ke seluruh negara secara lebih efisien dan tersusun.
Selain tugasan harian, aset baharu ini juga akan dimanfaatkan dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi inisiatif Hijrah Prihatin. Ini termasuk penglibatan dalam misi bantuan bencana, program kemasyarakatan dan kemanusiaan yang menyentuh langsung kehidupan masyarakat di akar umbi. Pelancaran ini dijangka mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang, mempercepatkan mobilisasi pasukan kerja serta memastikan persiapan lebih rapi menjelang musim utama seperti Ramadan, Syawal dan musim tengkujuh.
Kenderaan baharu ini turut memperkenalkan rekaan visual korporat terkini TV AlHijrah yang lebih moden dan segar mencerminkan identiti stesen sebagai penyiar Islam yang progresif, boleh dipercayai dan dekat di hati penonton. Majlis hari ini juga menggariskan iltizam seluruh warga kerja TV AlHijrah dalam memperkukuh misi menjadi rujukan utama penyiaran Islam, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.