TV AlHijrah membawakan program realiti TV berjudul “Pentas Marhaban”

TV AlHijrah membawakan program realiti TV berjudul “Pentas Marhaban”

TV AlHijrah mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam dakwah melalui platform penyiaran dengan menghadirkan program realiti TV yang dikenali sebagai Pentas Marhaban.

Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

Bercerita mengenai buah tangan terbaru TV AlHijrah, Namanzee Harris selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, TV AlHijrah senantiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

“Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton  dan rancangan realiti Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton,  TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

“Tambah pula, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channelshare) sehinggamenduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

“Kejayaan ini adalah penanda aras buat stesen tv kami untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia, insya-Allah. Peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran.

Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak. Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal,” jelas Namanzee.

“Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November akan datang,” katanya lagi.

Tambah beliau, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’  musim pertama, Tilmiz Fahmi.

Ustaz Husaini Mahmur, qari negara yang juga merupakan qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua  juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus. Tidak dilupakan juga sesi penjurian daripada juri jemputan mingguan.

Sewaktu ditebak mengenai peserta-peserta yang akan bersaing di Pentas Marhaban, beliau berkata, sebanyak dua belas kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW  serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua dua belas kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara. Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil,” katanya.

“Dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee,” tuturnya menutup bicara.

TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat.

Maklumat lanjut serta perkembangan terkini rancangan Pentas Marhaban  boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah, laman media sosial TV AlHijrah, portal Alhijrahnews.com serta portal HBIT.my.