Tujuh Cerita Nabi, Sajian Nurflix

Tujuh Cerita Nabi, Sajian Nurflix

Nurflix yang merupakan platform penstriman video kandungan Islamik dan patuh Syariah
menerusi segmen Nurflix Junior bakal menyajikan cerita-cerita animasi kenabian yang
dijangka menemui penonton mulai Ogos ini.


Penerbit Eksekutif Nurflix Junior, Diana Amir berkata, cerita-cerita animasi yang dibawakan
khas dari Turki itu merangkumi tujuh penceritaan dengan 330 episod yang akan ditayangkan
dalam dua versi, Arab dan terjemahan serta Bahasa Melayu. Antara tujuh kisah yang akan
disampaikan kepada khalayak antaranya ialah cerita Habibullah (Muhammad SAW),
Khalilullah (Ibrahim Alaihissalam), Kalimullah (Musa Alaihissalam), Nuh Alaihissalam,
Sulaiman Alaihissalam dan Adam Alaihissalam.
“Pada fasa pertama, cerita-cerita ini akan ditayangkan dalam bahasa Arab dengan sari kata
bahasa Melayu dan Inggeris. Pada fasa kedua pula, kesemuanya akan ditayangkan dalam
versi alih bahasa ke bahasa Melayu. Cerita-cerita yang bakal disajikan ini disemak dengan
terperinci di Turki dan mematuhi Syariah dan bersesuaian dengan tontonan ramai,”
demikian menurut Diana Amir.


“Majlis para asatizah kami dikenali Nurpath juga telah mula menyemak kandungan ketujuh-
tujuh cerita animasi yang dibawakan dari Turki ini. Alhamdulillah setakat ini cerita-cerita
animasi ini menepati ciri yang ditetapkan sebelum dipertontonkan kepada orang ramai,”
tambahnya.
Namun berikutan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3.0, katanya proses
pengalihan bahasa itu terpaksa dihentikan.
Menurut Diana, sebelum ini, platform ini dinamakan Nurkids yang mensasarkan kanak-
kanak di bawah 14 tahun. Namun selepas perbincangan, belia di bawah 21 tahun turut
memerlukan kandungan bermanfaat seperti ini lalu platform tersebut telah ditukarkan
kepada Nurflix JR.


“Tentunya kita mahukan tontonan yang terbaik untuk anak-anak agar mereka membesar
dengan nilai-nilai Islam,” ujar Diana Amir lagi yang menjelaskan bahawa semua bahan
tontonan Nurflix adalah selamat ditonton.
Turut menerangkan tentang perjalanan Nurflix dan Nurflix JR adalah Syah Mohamed yang
merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix yang memberitahu bahawa setakat ini Nurflix
telah menerima sambutan positif dengan jumlah langganan yang menggalakkan.
“Setakat ini, kami merekodkan antara 22,000 hingga 23,000 jumlah langganan secara
percuma. Manakala mereka yang mengikuti kandungan kami secara berbayar (langganan
sepanjang hayat) adalah sekitar 10 peratus buat masa ini.

“Insya-Allah, kemungkinan besar kami akan lancarkan langganan secara berbayar
sepenuhnya sekitar Januari tahun hadapan apabila jumlah kandungan kami mencecah angka
1,000,” jelasnya.
Nurflix kini dalam perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi
membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat
untuk generasi.
“Kemasukan kandungan luar ke dalam Nurflix bakal memberi pelbagai peluang pekerjaan
dalam sektor pos-produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa. Inisiatif ini juga dibuat
agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dalam dan luar negara
yang disajikan kepada pengguna” katanya.
Aplikasi Nurflix boleh dicapai melalui laman web http://nurflix.tv , Apple Appstore dan
Google Playstore.