Tradisi malam tujuh likur menurut perspektif Islam

Tradisi malam tujuh likur menurut perspektif Islam

MENJELANG penghujung Ramadan, menjadi tradisi masyarakat Melayu akan memasang lampu pelita.

Kebiasaannya pelita dipasang semasa 10 malam terakhir Ramadan yang dipanggil sebagai malam tujuh likur oleh kebanyakan mereka, lebih-lebih lagi pada 27 Ramadan.

Apakah amalan ini bercanggah dengan apa yang dianjurkan dalam Islam?

Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW sangat menganjurkan umatnya untuk menambahkan lagi ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Ia kerana pada salah satu malam ganjilnya ada Lailatulqadar yang mana pahala bagi sesiapa melakukan ibadah padanya lebih baik daripada 1,000 bulan.

Baginda SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari: “Carilah Lailatulqadar di malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.”

Imam al-Tabari dan Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan Surah al-Qadr, mereka menyatakan, ibadah lailatul al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan.

Adapun, memasang pelita pada 10 terakhir Ramadan dengan tujuan sekadar memeriahkan rumah dan menambahkan keceriaan adalah diharuskan.

Namun, jika dipasang dengan iktikad tertentu seperti memudahkan malaikat masuk ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah, maka ia tidak diharuskan.

Masyarakat perlulah memfokuskan ibadah dan amal pada 10 terakhir Ramadan agar memperoleh lailatul al-Qadr.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *