YAYASAN MR D.I.Y. dan Food4u Bersatu Hulur Pek Makanan Kepada Gelandangan di Kuala Lumpur
Bagi memastikan tiada golongan terpinggir yang dilupakan, YAYASAN MR D.I.Y. bersama rakan kolaborasi Food4u telah menjalankan misi kemanusiaan dengan mengagihkan pek makanan kepada gelandangan di ibu kota. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif CSR sempena kempen “Raya Penuh Makna” oleh MR D.I.Y. untuk menyebarkan kegembiraan dan kasih sayang menjelang Syawal.
Inisiatif ini memberi fokus kepada komuniti gelandangan yang sering berhadapan dengan cabaran mendapatkan makanan harian yang mencukupi dan seimbang. Sebanyak 600 pek makanan lengkap dengan nasi biryani, biskut krim, roti dan air mineral telah diedarkan di dua lokasi: Medan Tuanku (25 Mac 2025) dan Jalan Sayur, Pudu (27 Mac 2025).
Menurut Encik Tony, wakil dari Food4u, “Kami amat menghargai usaha murni YAYASAN MR D.I.Y. dalam membantu golongan ini. Ia bukan sekadar bantuan makanan, malah satu isyarat bahawa mereka tidak dilupakan.”

Kerjasama ini bukan sahaja menyampaikan keperluan asas kepada yang memerlukan, malah turut membuka mata masyarakat tentang pentingnya nilai empati, kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib orang lain – tanpa mengira latar belakang.
YAYASAN MR D.I.Y. percaya bahawa perubahan besar bermula dengan langkah kecil. Justeru itu, mereka mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil berganding bahu demi membantu komuniti yang serba kekurangan.
Selain sumbangan makanan, kempen “Raya Penuh Makna” turut melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain termasuk lawatan ke rumah kebajikan, projek sukarelawan dan program khas untuk golongan memerlukan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif yang dijalankan, layari laman web rasmi mrdiy.com.my atau ikuti saluran media sosial MR D.I.Y. di Facebook, Instagram dan TikTok.