Tindakan pemeriksaan dan pemantauan secara lebih menyeluruh di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sentiasa dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua syarikat pembungkusan minyak masak dan kilang penapis minyak masak.
Selain itu, operasi khas iaitu OPS GORENG juga telah dilaksanakan dalam menangani isu penyelewangan dan ketirisan minyak masak bersubsidi ke atas syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak. Hasil OPS GORENG telah berjaya merampas sejumlah RM 15.57 juta yang melibatkan 401 kes kesalahan berkaitan pembekalan minyak masak termasuklah minyak masak bersubsidi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Selain itu, sebanyak sembilan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) melibatkan nilai pembukaan ke atas aset syarikat berkaitan minyak masak yang telah diambil tindakan berjumlah RM 1.79 juta. Berdasarkan statistik sehingga Februari 2022 sebanyak 27 syarikat telah digantung/dibatakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, ini membuktikan Kementerian tidak akan berkompromi dan memandang serius berkaitan isu ini.
Susulan pembukaan sempadan Negara mulai 01 April 2022, KPDNHEP akan mempertingkatkan tindakan penguatkusaan dipintu masuk sempadan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan isu-isu berkaitan ketirisan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi dibanteras sepenuhnya.
Rakyat Malaysia diseru untuk bekerjsama dengan memainkan peranan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak supaya aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi ini boleh mengemukakan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan tertera seperti berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP