PENGAMBILAN ais lazimnya dikaitkan dengan stigma memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan tubuh badan.
Begitu juga dalam adat orang Melayu, ais menjadi ‘pantang larang’ kerana dimomokkan pengambilannya memberi kesan yang negatif terutama bila minum minuman sejuk berais. Hal-hal sedemikian sekiranya molekul sejuk air memasuki tubuh badan.
Dari sudut lain, penggunaan ais mampu menjadi satu terapi dan mempunyai banyak manfaat terutamanya kepada fungsi tubuh badan.
Ramai yang beranggapan sedemikian kerana merasakan ia boleh memberikan kesan dalaman pada anggota badan seperti mudah selesema, punca masalah perut buncit, melesukan tubuh dan sebagainya.
Ais juga sering dielak terutama oleh individu yang mahu menjaga kecantikan dalaman dan luaran.
Andaiannya supaya diri sentiasa terpelihara daripada sebarang kesan tidak baik kononnya berpunca daripada ais.
Terapi mandian ais atau hidroterapi ais misalnya dikaitkan dengan suatu kaedah terapi penjagaan kesihatan melalui penggunaan medium air dan ais sebagai bahan utamanya.
Sebastian Kneipp merupakan individu penting yang mengembangkan mandian ais sehingga beliau digelar ‘doktor ais’.
Kaedah mandian air sejuk yang dipelopori oleh beliau telah berkembang sehingga ke Amerika Syarikat sekitar tahun 1800-an.
Persoalannya, apakah benar terapi mandian ais boleh memberikan kesan baik pada kesihatan? Ikuti kupasan lanjut bersama Sihat:Aktif pada minggu ini.
Manfaat aura hidroterapi ais
BARU-BARU ini, penulis ada terbaca mengenai perkongsian dua selebriti popular Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) yang pernah mengamalkan terapi mandian ais.
Kata mereka, banyak manfaat terapi tersebut jika diamalkan terutamanya untuk kekal sihat dan segar.
Ya, hasil tinjauan penulis di media maya juga mendapati ramai yang berkongsi kebaikan terapi mandian ais.
Antaranya dikatakan membantu proses pemulihan, malah ada mengaitkannya dengan petua kecantikan. Jika menyingkap perkongsian Persatuan Alami Hidroterapi Ais Malaysia (PAHAM), menurut sejarah, terapi ais dikategorikan di bawah hidroterapi.
MANDI ais disyorkan untuk mendapatkan kesegaran tubuh badan.
Ia iaitu suatu kaedah terapi yang menggunakan air berais sebagai medium utama. Sejarah mencatatkan penggunaan ais sebagai kaedah merawat penyakit semenjak zaman Mesir purba lagi.
Evolusi mandian ais bermula sejak tahun 1700, yang mana antara nama yang menyumbang dalam terapi mandian air sejuk ialah James Currie, Vincent Preissnitz dan Sebastian Kneipp.
Hakikatnya, adakah benar mandian ais mendatangkan kebaikan? Bolehkah ia diamalkan oleh semua individu tanpa mengira latar belakang kesihatan dan usia?
Bagi menjawab persoalan tersebut, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan Kesihatan Awam, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, Dr Nur ‘Athira Faisal Sabri.
DR NUR ‘ATHIRA.
Kurangkan keradangan
Sedar atau tidak, lazimnya, apabila melakukan senaman, darah seseorang akan mengalir di bahagian yang mengalami ‘stres’. Darah yang mengalir deras boleh menyebabkan cecair itu bergerak keluar dari saluran darah ke tisu tubuh.
Keadaan itu dipanggil hydrostatic pressure. Cecair tersebut mengandungi bahan yang boleh menyebabkan keradangan, seterusnya terkumpul di sekitar tisu bersama dengan bahan sisa.
Justeru apabila berlaku rendaman badan di dalam air sejuk, saluran darah tersebut akan mengecut dan segala bahan tadi ‘terlerai’ tidak akan terkumpul di sekitar tisu.
Di situlah, manfaat utama mandi ais itu iaitu mengurangkan tahap keradangan tisu terbabit. Jelas Dr ‘Athira, saluran yang mengecut juga menyebabkan darah tertumpu kembali ke jantung (increase preload) dan akan mengepam jumlah darah yang banyak ke seluruh badan.
“Keadaan ini seterusnya akan membaiki aliran darah ke seluruh anggota badan. Pada tahap inilah dianggap dapat melonjakkan fasa penyembuhan tisu.
“Selain itu, sensasi sejuk itu sendiri disukai ramai. Ia juga mengaktifkan adrenalin lalu meningkatkan kadar nadi, tekanan darah dan kadar pernafasan,” katanya kepada Sihat:Aktif.
Padanlah terapi mandian ais sinonim dengan atlet dan mereka yang menceburkan diri dalam bidang sukan. Mengaplikasikannya akan membawa kesegaran selepas seharian aktif bersukan.
Dengan mandi ais pengaktifan sistem simpatetik juga akan memberi kesegaran lalu menyebabkan seseorang rasa lebih bertenaga dan kuat, tambahnya lagi.
Tiada had umur
Menariknya, keperluan mandi ais tidak mempunyai spesifikasi limitasi atau had umur.
Ujar Dr Nur ‘Athira sekiranya kanak-kanak yang ingin berendam dalam air ais, biarlah dengan pengawasan orang dewasa.
Hal itu agar proses dilakukan dalam kadar yang tidak terlalu lama sehingga boleh menyebabkan hipotermia. Kaedah untuk mandi ais juga bukan sembarangan.
Terus ‘terjun’ ke dalam air berisi ais misalnya tidak akan memberi apa-apa manfaat, sebaliknya berbahaya kerana akan memberi stres kepada jantung, ujar beliau lagi.
MANDI ais juga tidak mempunyai spesifikasi umur.
Sehingga kini, tidak ada satu kajian yang benar-benar memberi kepastian bahawa mandi air ais boleh meningkatkan imunisasi atau menguatkan tulang.
“Sekiranya ada yang mengatakan sedemikian, besar kemungkinan mereka attribute kebaikan tersebut kepada peningkatan aliran darah lalu membawa nutrien ke seluruh anggota badan,” jelas Dr ‘Athira.
Menjawab persoalan adakah mandi ais boleh diamalkan secara kerap oleh pesakit kronik, katanya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung atau strok, tidak dinasihatkan untuk mengamalkannya secara kerap.
Menurutnya, itu disebabkan pendedahan mendadak terhadap air ais akan meningkatkan stres terhadap jantung dan melonjakkan tekanan darah.
Manfaat lain
Sihat:Aktif turut berkesempatan mendapatkan pandangan Timbalan Presiden Persatuan Alami Hidroterapi Ais Malaysia (PAHAM), Ahmad Basri Mohd Yusoff.
AHMAD BASRI.
Mengulas tentang mandian menggunakan medium air dan ais pada asasnya itu, Ahmad Basri memberikan contoh, Colour Vibration Therapy (CVT) menginovasikannya daripada amalan mandi bunga.
Amalan oleh generasi dahulu itu ditambah unsur-unsur lain bagi mengoptimumkan kesan selepas sesi mandian. “Mandi ais secara umumnya merupakan suatu kaedah bagi tujuan pembersihan spiritual atau peleraian radiasi yang terdapat pada sistem tubuh.
“Proses pembersihan ini berlaku melalui kaedah dan bahan-bahan yang digunakan sepanjang proses terapi mandian ais selama 30 minit,” katanya.
Antara bahan-bahan yang digunakan adalah air, pati bunga (aromaterapi), garam kasar, kapur sireh, sulfur, hidro nitrium, nila, madu lebah, gel mandian dan ais.
Kata Ahmad Basri, terdapat dua jenis mandian ais yang boleh dilakukan iaitu:
1. Secara rendaman selama 30 minit.
2. Cara bilasan akhir.
Sekiranya dilakukan oleh profesional, kedua-dua kaedah mandian ais itu pula mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang didokumenkan sebagai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Seia dengan Dr ‘Athira, lagi manfaat mandian ais yang dikongsikan beliau ialah ia dapat meningkatkan jumlah oksigen di dalam darah dan meneutralkan gas-gas lengai yang mengganggu tahap kecerdasan seseorang.
Keupayaan air sejuk (air dan ais) dan minyak pati bunga (aromaterapi) sebagai peneutral yang ideal dapat menghantar isyarat gelombang ke seluruh sistem tubuh dengan laju.
Kongsi Ahmad Basri, ais mempunyai getaran tenaga yang begitu aktif. Ia berupaya memberikan tekanan ke dalam tubuh untuk meneutralkan kawasan yang bertekanan rendah di dalam tubuh yang dipenuhi karbon dioksida. Hidroterapi ais juga akan menjadikan pengaliran tenaga kembali lancar.
Justeru gangguan seperti stres dan tekanan dapat diatasi selain mampu meredakan bengkak dan ketegangan otot.
“Air yang mengalir dan jernih juga mempunyai rahsia kelajuan cahaya yang menyerlahkan lagi sinar cantik pada aura manusia,” jelasnya.
Lebih menarik, katanya mandian ais bagi orang yang demam akan dapat mengimbangi sistem organ atau limfatik tubuh dan membantu darah mendapatkan bekalan oksigen yang cukup.
Saranan penulis, eloklah mereka yang mahu mencuba supaya mendapatkan khidmat pengamal perubatan bertauliah sebelum berbuat demikian.
Kongsi Ahmad Basri, tiada laporan berkenaan komplikasi yang dialami ketika dan selepas terapi mandi ais dilakukan.
Perawat ataupun pengamal akan mengadakan sesi diagnosis terlebih dahulu bagi mendapat maklumat berkenaan tahap kesihatan dan memberi penjelasan kepada pelanggan mengenai mandian hidroterapi ais berkenaan.
“Terdapat beberapa keadaan rawatan terapi berkenaan tidak boleh dilakukan contohnya individu yang memakai alat perentak jantung dan wanita yang sedang datang haid,” katanya.
‘Setiap hari saya akan mandi ais’
KEBANYAKAN kediaman lazimnya akan memasang alat pemanas air kerana ramai yang suka mandi dengan menggunakan air panas berbanding air sejuk.
Bagaimanapun ia tidak bagi Maizatul Farah Diba Mohd Nordin, 49, yang berkongsi, setiap hari beliau akan mengamalkan mandi ais untuk diri sendiri di rumahnya.
MAIZATUL FARAH DIBA.
Jika demam atau selesema, mandian akan lebih kerap dilakukannya iaitu beberapa kali dalam satu hari bagi mandian bilasan akhir.
“Untuk kesegaran pula, saya akan amalkan rendaman mandi ais tiga bulan sekali atau diambil apabila adanya keperluan,” katanya yang sudah 18 tahun mengamalkan terapi berkenaan.
Katanya, perubahan paling ketara yang dapat dilihat selepas mengamalkan terapi mandian ais adalah aura wajahnya kembali berseri-seri kerana sel-sel kulit mati akan tertanggal semasa mandian.
Beliau pernah mendapatkan perkhidmatan terapi ais di salah sebuah premis yang menawarkan perkhidmatan tersebut di Shah Alam.
“Kos mandian ais yang ditawarkan adalah sekitar RM160 ke RM200 bagi setiap satu sesi mandian. “Saya akan mendapatkan perkhidmatan mandi ais apabila mempunyai masalah kesihatan yang teruk.
Bagi saya harganya amatlah berpatutan kerana terdapat pelbagai bahan yang digunakan semasa melakukan terapi mandian ais berkenaan seperti garam, kapur, gel mandian, dan sembilan jenis pati bunga,” katanya.
Selain itu, kongsi Maizatul, manfaat lain dirasakannya apabila sering mengamalkan mandi ais adalah sentiasa berasa segar.
Lenguh-lenguh pada sendi turut hilang, mendapat tidur yang cukup lena dan badannya sangat bertenaga.
“Jelasnya, perubahan akan dapat dirasai meskipun baru kali pertama mengamalkannya”.
MANDI ais dijadikan sebagai rawatan alternatif untuk merawat penyakit.
ANEKDOT
Langkah-langkah mudah terapi mandi ais
TERAPI mandian ais bukan sahaja boleh dilakukan di spa yang menawarkan khidmat berkaitan, tetapi juga boleh dilakukan sendiri di rumah.
Berikut langkah mudah penyediaan yang boleh dilakukan:
Rendaman kaki:
1. Masukkan air ke dalam baldi.
2. Masukkan garam kasar (lebih kurang 500 gram).
3. Masukkan ais mengikut keperluan.
4. Titik seri wajah aromaterapi (jika ada).
5. Rendamkan kaki selama 20 ke 30 minit.
>> Manfaatnya, membantu melancarkan pengaliran darah. Dinasihatkan untuk membuat mandian ais bagi mendapat kesan yang lebih baik.
Mandian bilasan akhir:
Dilakukan selepas mandian biasa.
1. Masukkan air ke dalam baldi.
2. Masukkan ais mengikut keperluan.
3. Titik seri wajah aromaterapi (jika ada).
4. Niat untuk tujuan mandian.
5. Mulakan menjirus daripada kaki, kemudian jirus di bahagian lutut, diikuti pinggang, seterusnya bahu kiri dan kanan, akhir sekali jirus di bahagian kepala.
Terus mandi sehingga habis air yang telah disediakan tadi.
>> Manfaatnya, dapat meleraikan radiasi pada tubuh badan, memberi kesegaran, membina kekuatan tulang, kesan kepada tidur yang baik dan menurunkan suhu badan dengan kadar yang segera (khusus kepada individu yang demam).
Kekerapan mandi ais yang disyorkan:
i) Sekali mandian – Mandian untuk kesegaran.
ii) Tiga kali mandian – Masalah kesihatan yang ringan contoh masalah gangguan emosi, ketakutan, mengantuk, keliru, keletihan, kepenatan, gastrik, migrain, pening-pening, gementar dan gemuruh.
iii) Lima kali mandian – Pesakit yang mempunyai rekod dan telah disahkan mengalami penyakit kronik seperti diabetes, hepatitis dan lain-lain.
iv) Tujuh kali mandian – Pesakit-pesakit kronik yang telah disahkan berada dalam tahap empat.
v) Sembilan kali mandian – Pesakit kronik tahap empat dan mempunyai masalah paranormal.
Sumber: Persatuan Alami Hidroterapi Ais Malaysia (PAHAM)