Kisah kehilangan kanak-kanak sering menjadi perhatian masyarakat, apatah lagi apabila ada kes yang kekal menjadi misteri tanpa jawapan. Berinspirasikan fenomena ini, syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. tampil mempersembahkan sebuah filem seram berjudul TELAGA SURIRAM. Menurut pengarahnya, Osman Ali, ilham filem ini tercetus daripada sebuah kisah lama yang mengisahkan seorang kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga usang.
“Dahulu, ada kepercayaan rakyat mengenai telaga-telaga lama yang dianggap berhantu dan dikatakan mampu meragut nyawa manusia. Kami melihat potensi untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik penuh dramatik dengan kepercayaan turun-temurun,” jelas Osman.
Filem ini berpusat kepada misteri kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram, yang menggemparkan seluruh penduduk kampung. Lebih menarik, TELAGA SURIRAM menampilkan barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon cilik berbakat, Puteri Rafasya. Menurut Osman, filem ini membawa pendekatan berbeza daripada filem seram konvensional.
“Telaga Suriram bukan sekadar mengandalkan elemen kejutan atau kemunculan hantu semata-mata. Ia lebih kepada menggambarkan bagaimana masyarakat masih terikat dengan kepercayaan lama, yang menjadi sebahagian daripada budaya kita,” katanya lagi.
Bercerita tentang cabaran sepanjang penggambaran, Osman mengakui banyak pengalaman aneh dilalui kru produksi. Kebanyakan babak dirakam di kampung-kampung tradisional yang mempunyai kisah mistik tersendiri, demi mendapatkan suasana seram yang lebih autentik.
“Kami memilih lokasi yang kaya dengan cerita mistik, dan tidak dinafikan ada kru mendengar suara misteri, terasa diperhatikan, malah ada yang ternampak kelibat ganjil. Semua itu kami anggap sebagai asam garam dalam pembikinan filem genre ini,” ceritanya.
Penerbit filem, Yus Yusop, pula berkongsi bahawa minat mendalam terhadap cerita rakyat kaya elemen sejarah dan mistik menjadi pencetus utama projek ini. Setelah berbincang dengan Osman, mereka sepakat bahawa naskhah seperti ini layak diangkat ke layar perak untuk menghidupkan semula khazanah budaya yang hampir dilupakan.
“Projek ini bermula sejak 2022 dan melalui proses yang sangat teliti daripada peringkat skrip sehinggalah pasca produksi. Kami mengambil masa tiga tahun untuk benar-benar memastikan kualiti terbaik sebelum ditayangkan. Saya percaya, segala usaha ini akan membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.
Selain berharap filem ini mendapat sambutan hangat peminat filem seram, Yus juga mahu Telaga Suriram menjadi karya yang mengajak penonton menghargai seni budaya warisan kita. Ini merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali, serta terbitan sulung Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi Nuansa Films. TELAGA SURIRAM bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025. Filem ini menjalani penggambaran selama 45 hari di beberapa lokasi di Perlis, Kedah dan Perak.