Tag: #Trilogi2026

  • Konsert TRILOGI Himpunkan Tiga Vokal Rock Berkarisma

    Konsert TRILOGI Himpunkan Tiga Vokal Rock Berkarisma

    Konsert TRILOGI bakal menghimpunkan tiga figura vokal berkarisma iaitu Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim dalam sebuah persembahan eksklusif yang meraikan muzik serta kekuatan interpretasi masing-masing di atas satu pentas. Menggabungkan elemen rock, balada dan sentuhan kontemporari, setiap artis akan menampilkan repertoir terbaik mereka selain kolaborasi istimewa yang hanya dapat disaksikan dalam konsert ini, sekali gus mencipta momen bersejarah buat para peminat muzik tempatan.

    Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM Serdang ini dijangka menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan kapasiti terhad kepada 1,000 penonton sahaja, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih eksklusif dan intim antara artis dan peminat.

    TRILOGI turut menandakan kemunculan semula Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim selepas tempoh menyepi, sekali gus menjadi detik ‘comeback’ yang dinanti-nantikan oleh para peminat. Ketiga-tiga artis ini sebelum ini pernah mencipta keserasian menerusi kolaborasi lagu “Selamatkan Aku” pada tahun 2017 yang menonjolkan kekuatan vokal serta karakter unik masing-masing. Idea penganjuran konsert ini tercetus daripada sambutan luar biasa ketika penampilan mereka di Konsert 15 Tahun Drama Band pada 31 Januari 2026, apabila sorakan dan reaksi hebat peminat membuka ruang kepada penggabungan semula tiga figura ini dalam sebuah konsert khas. TRILOGI kini tampil sebagai sebuah pentas yang meraikan kekuatan muzik, elemen nostalgia serta keunikan tiga vokal yang berbeza namun saling melengkapi.

    Sepanjang konsert, penonton akan disajikan dengan kira-kira 25 buah lagu yang merangkumi karya solo setiap artis, kolaborasi istimewa serta repertoir terbaik mereka. Persembahan ini bakal membawa penonton menyelusuri perjalanan seni dan emosi ketiga-tiga penyanyi dalam satu malam yang penuh tenaga, nostalgia dan dinamika.

    Menurut pihak penganjur, Aepul Roza Ventures Sdn Bhd, Konsert TRILOGI bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi juga platform untuk meraikan perjalanan seni, persahabatan serta evolusi muzik rock tempatan.

    Tiket Konsert TRILOGI ditawarkan dalam tiga kategori utama iaitu VIP berharga RM289 yang terhad kepada 100 pemegang tiket dan merangkumi sesi Meet and Greet eksklusif, diikuti kategori Normal pada harga RM189 serta kategori Standing berharga RM99. Para peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi di www.trilogi.uberticket.asia.