Tag: #LaguRockMalaysia

  • “SELINGKUH” JIMI TAMPIL DENGAN KEJUJURAN DALAM LUKA

    “SELINGKUH” JIMI TAMPIL DENGAN KEJUJURAN DALAM LUKA

    Penyanyi berbakat, Jimi, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya penuh emosi yang menggambarkan kisah kekecewaan dan keberanian melepaskan cinta yang dipenuhi kepalsuan. Lagu ini merupakan single kedua Jimi bersama Alternate Records, sekaligus memperlihatkan kematangan serta evolusi muziknya yang semakin menyerlah.

    Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seseorang yang dikhianati, daripada kekecewaan yang mendalam hingga keputusan untuk bangkit demi maruah dan ketenangan diri. Setiap bait liriknya mengalir dengan kejujuran, menjadikan lagu ini bukan sekadar luahan kesedihan, tetapi juga kekuatan untuk terus melangkah.

    Menurut Jimi, peluang untuk menyanyikan lagu ini merupakan satu penghormatan besar buat dirinya. “Saya telah memberikan sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tetapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri apabila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya penuh makna.

    Proses rakaman vokal untuk lagu ini hanya mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, namun Jimi mengakui ada bahagian tertentu yang memerlukan fokus tinggi bagi mencapai vibe yang diinginkan. “Cabaran terbesar lagu ini ialah untuk mendapatkan vibe rock tanpa mengorbankan identiti saya sendiri. Kali ini saya perlu lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tetapi dalam masa yang sama menjaga emosi lagu tersebut,” tambahnya.

    Dari sudut penciptaan, komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush menjelaskan bahawa Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan rasa kecewa dengan penuh kejujuran tanpa sebarang tapis. “Keunikan lagu ini terletak pada liriknya yang tajam dan realistik. Frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberikan kesan seolah-olah ia adalah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.

    Menariknya, proses penulisan dan penghasilan lagu ini berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina, menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa. Para penulis dan produser hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp bagi menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman vokal akhir dijalankan bersama Jimi.

    Menggabungkan elemen rock dan elektronik, Selingkuh menawarkan pengalaman bunyi yang segar sambil mengekalkan semangat rock klasik dengan suntikan moden yang menjadikannya relevan untuk pendengar tahun 2025. “Kelainan yang saya ingin tonjolkan ialah keberanian untuk keluar daripada zon selesa. Mungkin ramai belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh tenaga pentas,” ujar Jimi lagi.

    Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar sebuah lagu tentang perpisahan, tetapi simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. “Pendengar patut dengar lagu ini kerana ia membawa rasa yang berbeza daripada karya saya sebelum ini. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikannya sebuah pengalaman yang jujur serta dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.

    Dengan vokal bertenaga dan lirik yang penuh keikhlasan, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani daripada Jimi setakat ini. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • Alasanmu Versi 2025: Exists Kembali Dengan Luahan Jujur Tentang Luka dan Pengkhianatan

    Alasanmu Versi 2025: Exists Kembali Dengan Luahan Jujur Tentang Luka dan Pengkhianatan

    Kumpulan rock legenda tanah air, Exists, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran semula single ikonik mereka “Alasanmu” kali ini dengan nafas baharu yang lebih sinematik dan sarat emosi. Lagu ini bukan sekadar versi baharu daripada karya lama, tetapi sebuah luahan jujur mengenai kisah sebenar yang pernah mereka hadapi sepanjang perjalanan dalam dunia seni. Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia, “Alasanmu” versi 2025 menjadi satu bentuk penceritaan semula yang lebih peribadi dan menyentuh hati.

    Ditubuhkan sejak awal 90-an, Exists dianggotai oleh pemuzik berbakat seperti Along, Shah, Musrad, Ujang, Ajai dan Ezad Lazim, yang kini menjadi suara utama kumpulan ini. Ezad menekankan bahawa kehadirannya bukan untuk menggantikan sesiapa, sebaliknya membawa semangat baru kepada Exists. Menurutnya, lagu ini mencerminkan pengalaman sebenar mereka yang pernah melalui kekecewaan dan pengkhianatan bukan hanya dalam cinta, tetapi dalam dunia profesional seni.

    Exists membuktikan relevan mereka apabila katalog muzik mereka kini telah meraih lebih 2.2 bilion strim digital di seluruh dunia, merangkumi pelbagai platform penstriman audio dan video. Lagu-lagu mereka seperti “Mengintai Dari Tirai Kamar”, “Masih Terserlah Ayumu”, dan tentunya “Alasanmu”, terus hidup dalam hati peminat lama dan baharu.

    “Alasanmu” pernah dimuatkan dalam album Diammu Gunung Berapi lebih tiga dekad lalu sebagai lagu cinta. Namun kini, ia dimaknai semula sebagai lagu tentang kehilangan kepercayaan dan perjuangan melepasi titik terendah dalam kehidupan. Menurut Along, kisah di sebalik lagu ini sangat peribadi dan penuh makna buat kumpulan ini bukan untuk membalas dendam, tetapi sebagai proses melepaskan luka dengan cara yang paling ikhlas: melalui muzik.

    Proses pembikinan semula lagu ini bukan mudah memakan masa beberapa bulan dan melibatkan penyusunan semula muzik, penulisan baharu serta rakaman vokal yang memberi penekanan kepada kejujuran emosi. Ezad menyampaikan setiap bait lagu ini dengan sepenuh jiwa, mewakili perasaan yang pernah mereka semua simpan dalam diam.

    Menariknya, “Alasanmu” pernah digunakan secara tidak rasmi dalam kempen politik sewaktu PRU14 membuktikan kekuatan mesej dan lirik lagu ini yang mampu merentas sempadan genre dan konteks. Exists tidak menolak pelbagai tafsiran terhadap karya mereka, namun menegaskan bahawa intipatinya tetap datang daripada hati mereka yang tulus sebagai seniman.

    Kini, “Alasanmu Versi 2025” tersedia untuk dinikmati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Ia bukan sekadar sebuah lagu lama yang dihidupkan semula, tetapi sebuah pengakuan, penghormatan kepada kisah silam, dan hadiah buat peminat yang masih setia menanti karya tulen dari Exists.