Tag: #KreativitiMurid

  • Membina Keyakinan Murid Melalui Pendekatan Pembelajaran Interaktif

    Membina Keyakinan Murid Melalui Pendekatan Pembelajaran Interaktif

    Sambutan hangat diterima oleh lebih 400 murid SMK Convent (M) Kajang ketika program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ diteruskan dengan kejayaan di sekolah ini pada 18 Februari 2025, bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Program yang dianjurkan oleh Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad melalui TV3, Tonton, dan DIDIKTVKPM ini bertujuan untuk meningkatkan kreativiti, komunikasi, serta keyakinan diri dalam kalangan murid.

    Dengan pendekatan yang berunsurkan interaktif dan penuh hiburan, program ini memberi peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi secara aktif dalam pelbagai aktiviti, termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, serta rakaman kandungan video untuk platform digital TV3. Aktiviti menarik seperti Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, dan permainan Mix & Match juga turut memeriahkan suasana. Keberkesanan program ini terletak pada kemampuannya untuk merangsang daya kreativiti dan meningkatkan keyakinan diri murid-murid dalam menghadapi cabaran di luar bilik darjah.

    Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, berkata, “Program ini adalah lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah platform untuk murid-murid menggali potensi diri mereka dan menonjolkan bakat terpendam. Dengan kehadiran selebriti dan penceramah berpengalaman, kami berharap dapat memberi inspirasi dan bimbingan dalam membantu mereka merancang masa depan yang lebih gemilang.”

    Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa remaja perempuan, Safi Shayla turut bekerjasama dalam program ini dengan mengadakan sesi khas bagi pelajar hijabi. Sesi ini memberi penekanan kepada penjagaan rambut, serta meningkatkan kesedaran tentang penjagaan diri dan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan melalui inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’.

    Aktiviti-aktiviti lain yang turut memeriahkan program ini termasuklah kuiz interaktif LED Q&A, persembahan daripada pelajar sekolah, serta peluang bertemu dengan selebriti tempatan seperti Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, dan Aizat Saha. Para pelajar turut menerima anugerah khas sebagai penghargaan atas penyertaan mereka yang cemerlang dalam aktiviti yang dijalankan.

    KAJANG 18 FEBUARI 2025. Selebriti, Aizat Saha, Malia Baby, Imran Aqil dan Nabil berkongsi bergambar bersama pelajar sekolah pada program Tonton Gen+ Suai kenal Sekolah di SMK Convent (M) Kajang. STR/HAZREEN MOHAMAD

    Program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, dengan kehadiran Puan Ruzihan binti Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang, dan Puan Nor Aishah binti Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat. Sebagai tanda penghargaan, plak penghargaan turut disampaikan kepada pihak sekolah yang menunjukkan sokongan yang padu terhadap penganjuran program ini.

    Dengan sokongan rakan kongsi seperti Safi Shayla, dan kerjasama daripada selebriti tempatan, program ini diharap dapat memberi impak positif dalam kehidupan murid-murid, sekali gus membantu mereka menjadi individu yang lebih kreatif, berkeyakinan, dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.