Tag: #Jimi

  • “SELINGKUH” JIMI TAMPIL DENGAN KEJUJURAN DALAM LUKA

    “SELINGKUH” JIMI TAMPIL DENGAN KEJUJURAN DALAM LUKA

    Penyanyi berbakat, Jimi, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya penuh emosi yang menggambarkan kisah kekecewaan dan keberanian melepaskan cinta yang dipenuhi kepalsuan. Lagu ini merupakan single kedua Jimi bersama Alternate Records, sekaligus memperlihatkan kematangan serta evolusi muziknya yang semakin menyerlah.

    Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seseorang yang dikhianati, daripada kekecewaan yang mendalam hingga keputusan untuk bangkit demi maruah dan ketenangan diri. Setiap bait liriknya mengalir dengan kejujuran, menjadikan lagu ini bukan sekadar luahan kesedihan, tetapi juga kekuatan untuk terus melangkah.

    Menurut Jimi, peluang untuk menyanyikan lagu ini merupakan satu penghormatan besar buat dirinya. “Saya telah memberikan sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tetapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri apabila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya penuh makna.

    Proses rakaman vokal untuk lagu ini hanya mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, namun Jimi mengakui ada bahagian tertentu yang memerlukan fokus tinggi bagi mencapai vibe yang diinginkan. “Cabaran terbesar lagu ini ialah untuk mendapatkan vibe rock tanpa mengorbankan identiti saya sendiri. Kali ini saya perlu lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tetapi dalam masa yang sama menjaga emosi lagu tersebut,” tambahnya.

    Dari sudut penciptaan, komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush menjelaskan bahawa Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan rasa kecewa dengan penuh kejujuran tanpa sebarang tapis. “Keunikan lagu ini terletak pada liriknya yang tajam dan realistik. Frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberikan kesan seolah-olah ia adalah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.

    Menariknya, proses penulisan dan penghasilan lagu ini berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina, menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa. Para penulis dan produser hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp bagi menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman vokal akhir dijalankan bersama Jimi.

    Menggabungkan elemen rock dan elektronik, Selingkuh menawarkan pengalaman bunyi yang segar sambil mengekalkan semangat rock klasik dengan suntikan moden yang menjadikannya relevan untuk pendengar tahun 2025. “Kelainan yang saya ingin tonjolkan ialah keberanian untuk keluar daripada zon selesa. Mungkin ramai belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh tenaga pentas,” ujar Jimi lagi.

    Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar sebuah lagu tentang perpisahan, tetapi simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. “Pendengar patut dengar lagu ini kerana ia membawa rasa yang berbeza daripada karya saya sebelum ini. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikannya sebuah pengalaman yang jujur serta dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.

    Dengan vokal bertenaga dan lirik yang penuh keikhlasan, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani daripada Jimi setakat ini. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

  • Jimi dan Aina Abdul Cipta Magis Kolaborasi Di Pentas Calpis Soda One In A Million

    Jimi dan Aina Abdul Cipta Magis Kolaborasi Di Pentas Calpis Soda One In A Million

    Minggu ketiga Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) menyaksikan pelbagai momen luar biasa yang mencuri tumpuan, termasuk duet magis antara Jimi dan Aina Abdul, serta persembahan hebat daripada peserta dan bintang jemputan. Pentas yang terus trending untuk tiga minggu berturut-turut ini sekali lagi membuktikan kekuatan konsepnya yang penuh cabaran dan kejutan.

    Jimi, peserta yang baru sahaja meraih gelaran Peserta Terpaling ‘FIZZ’ minggu lalu, diberi penghormatan berduet bersama penyanyi bersuara emas, Aina Abdul. Dikenali sebagai pemenang Vokal Terbaik AJL tiga tahun berturut-turut, Aina membawa pengalaman dan kehebatannya ke pentas, mencipta gabungan vokal yang memukau bersama Jimi.

    Persembahan duet ini memukau penonton dan juri, termasuk Cakra Khan, yang memuji harmoni suara mereka dengan berkata, “Suara kalian blended really well. Malam ini, kalian tampil dengan begitu memukau.”

    Jimi turut berkongsi rasa teruja dan pengalaman berlatih bersama Aina, yang menurutnya sangat mudah kerana persediaan yang rapi dan sifat rendah diri penyanyi itu. Aina juga memberikan nasihat bermakna kepadanya, “Nikmati persembahan ini sepenuhnya dan anggap seperti persembahan kita sendiri. Insya-Allah, semuanya akan berjalan dengan baik.”

    Selain duet memukau Jimi dan Aina, minggu ketiga CSOIAM juga diserikan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan legenda, Ruffedge, serta persembahan penutup penuh emosi daripada Ernie Zakri. Gabungan persembahan ini menjadikan episod minggu ini sebagai perbualan hangat di platform media sosial.

    Namun, di sebalik momen gemilang, dua peserta iaitu Hafiz Zainal dan Dayangku Iffah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas CSOIAM. Walaupun mereka memberikan persembahan terbaik yang menerima komen positif daripada juri, saingan sengit dalam pertandingan ini menjadi cabaran besar yang sukar diatasi.

    Marygrace tampil cemerlang minggu ini dengan persembahan penuh tenaga dan emosi menerusi lagu Memori Tercipta, sekaligus melayakkan dirinya sebagai Peserta Terpaling ‘FIZZ’. Gelaran ini membuka peluang untuknya berduet dengan legenda muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip, pada minggu hadapan.

    Minggu keempat CSOIAM bakal menampilkan tema “Sinergi Muzik”, di mana baki 8 peserta akan menonjolkan kreativiti mereka melalui lagu-lagu gabungan unik. Barisan peserta yang masih bersaing ialah Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, dan Eylia Guntabid.

    Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3 setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim dalam HD di Tonton. Sokong peserta pilihan anda dengan mengundi mereka, kerana 40% markah ditentukan oleh undian penonton, manakala selebihnya dinilai oleh juri profesional.

    Nikmati juga Fizz Journal, sorotan eksklusif perjalanan peserta, setiap Khamis hingga Sabtu jam 9.00 malam. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk terus bersama kami dalam mencipta fenomena luar biasa ini.