Tag: #Adikara

  • Babak Baharu Kehidupan, Adikara Lancar EP ‘Spotless Dove’ Demi Cahaya Mata

    Babak Baharu Kehidupan, Adikara Lancar EP ‘Spotless Dove’ Demi Cahaya Mata

    Penyanyi solois prolifik, Adikara, kembali memikat hati peminat menerusi pelancaran Extended Play (EP) terbaharu bertajuk “Spotless Dove”. Berbeza dengan karya-karya sebelum ini, naskhah kali ini merupakan sebuah jurnal emosi yang merakamkan saat-saat keemasan Adikara dalam mempersiapkan diri menggalas peranan sebagai seorang bapa.

    Inspirasi di sebalik “Spotless Dove” tercetus apabila Adikara menerima khabar tentang kehadiran puteri sulungnya. Perkhabaran tersebut membawa makna yang cukup mendalam, mendorong beliau untuk merenungkan kembali hakikat kasih sayang dan tanggungjawab terhadap sebuah nyawa yang hadir ke dunia dalam keadaan yang sepenuhnya suci dan murni.

    “Sebagai seorang lelaki, saya menemui dimensi baharu dalam maskulinitas. Ia bukan lagi tentang kekuatan luaran semata-mata, tetapi tentang kelembutan dan kesediaan untuk menjadi tempat berteduh buat anak dan isteri,” kata Adikara mengulas mengenai intipati album mini ini.

    Bagi Adikara, “Spotless Dove” adalah lebih daripada sekadar koleksi lagu; ia merupakan sebuah kapsul masa dan hadiah pertama buat puterinya. Beliau mahu naskhah ini menjadi bukti bahawa cinta buat anaknya telah wujud dengan utuh sebelum sang anak mengenal dunia. Setiap bait lirik dan melodi disusun sebagai janji seorang ayah yang akan sentiasa menjadi pelindung dan pemberi cinta tanpa syarat.

    Beliau turut berharap agar suatu hari nanti, karya ini akan menjadi tempat buat puterinya kembali untuk mengenang betapa besarnya kasih sayang yang mengiringi setiap langkah kehadirannya ke dunia.

    EP “Spotless Dove” kini boleh didapati dan dinikmati di semua platform penstriman digital utama di seluruh negara.