Tadabbur surah Al-Insan beri pengisian umrah Legasi 2 Kota

SHAH ALAM – Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB) berkolaborasi dengan Hi-Fly Travel & Tours Sdn Bhd untuk menganjurkan ibadah umrah Legasi 2 Kota dengan membawa pengisian Surah Al-Insan, “Memanusiakan manusia” bersama 113 jemaah pada 28 Februari hingga 10 Mac ini.

Jurulatih Utama ASISB, Harfiz Hamzah berkata, Surah Al-Insan menjadi surah pilihan pada tahun ini bagi kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal yang dijalankan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

“Pihak ASISB memberi sokongan kempen World #QuranHour 2023 dengan bertadabbur surah ke-76 ini di Tanah Suci Kota Makkah dan Madinah.

“Pada tahun ini, program berinteraksi dengan al-Quran kali kelapan diadakan secara serentak di seluruh dunia dan di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April ini,” katanya.

Beliau bersama tiga pentadabbur iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ASISB merangkap Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, Jurulatih AS, Muhammad Faiz Abdul Karim dan Coach Jamil Wahab mengisi sesi tadabbur tersebut di sepanjang perjalanan ibadah umrah tersebut.

Tambah beliau, pihak Hi-Fly memberi kerjasama yang baik kepada pihak AS sebagai penganjur Umrah Legasi 2 Kota untuk membawa jemaah mengerjakan umrah dengan selesa. Hi-Fly bertanggungjawab dalam menyediakan penerbangan, tempat tinggal, makan minum dan mutawif di Makkah dan Madinah.

“Saya berharap ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan dan jemaah dapat melaksanakan umrah dengan sempurna. Apa yang lebih penting adalah kesan takwa selepas balik daripada umrah tersebut,” katanya.

Pihak ASISB akan meneruskan sesi khas bersama jemaah bagi memastikan momentum takwa terus meningkat.

Sejak 1 Januari lalu, bakal jemaah mengikuti Sesi Misi Menghafal Surah Al-Insan, Kelas Tadabbur Surah Al-Insan dengan objektif, “Reset diri: Memahami cara untuk berbakti kepada diri, keluarga, dan masyarakat”, Kelas Tadabbur Asmaul Husna, Kelas Hadis “Umrah Doa” dan Borak-Borak Perjalanan Menjejak Legasi 2 Kota di platform digital setiap malam pada jam 9.15 malam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hi-Fly Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Shazmizan Shahrom berkata, pihak beliau berbesar hati atas kepercayaan dan jalinan kerjasama dengan AS untuk membawa jemaah dengan misi Surah Al-Insan.

Beliau turut teruja bersama jemaah untuk mengikuti sesi tadabbur al-Quran sebagai pengisian bermanfaat pada ibadah kali ini.

“Saya akui cabaran sebagai pengusaha agensi umrah hari ini adalah berhadapan dengan harga hotel di Makkah dan Madinah, serta persaingan dalam industri. Namun kepuasan saya lebih mengutamakan jemaah untuk sampai ke Tanah Suci dan melaksanakan ibadah umrah dengan selesa.

“Diharapkan kerjasama antara Hi-Fly dan ASISB akan berterusan denga pengisian kerohanian yang bermanfaat dari masa ke mas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Kursus Umrah Legasi 2 Kota kepada jemaah yang diadakan di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd pada 11 Februari lalu.

Pengisian kursus tersebut dibawakan oleh penceramah, Mohd Firdaus Atan. Antara topik yang diketengahkan adalah perjalanan sebuah umrah yang meliputi rukun dan wajib umrah, amalan umrah; ziarah di Makkah dan Madinah; dan berkongsi pengalaman lepas berkaitan cuaca, panduan masuk ke Raudah dan Hajar Aswad, penjagaan kesihatan dan membeli-belah.

“Banyak pengajaran yang diperoleh melalui ibadah umrah. Antaranya saie yang dilakukan antara Safwa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Analoginya, setiap kali menjalani kehidupan ini, kita perlu berkali-kali betulkan niat.

“Jemaah perlu peka segala ilmu dan peraturan untuk mengerjakan umrah agar ibadah tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Di sepanjang perjalanan kerohanian tersebut, kita perlu manfaatkan banyak membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Perbanyakkan doa kerana di sana ada tempat mustajab dan minum air zam zam sebagai sumber tenaga,” katanya.

Pada kursus umrah tersebut, pihak penganjur turut menyediakan khidmat suntikan Meningococcal dan vaksin Influenza daripada klinik swasta bagi kemudahan para jemaah yang hadir.

Peserta jemaah turut diberi set bagasi Hi-Fly untuk persediaan membawa keperluan ke umrah.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai program ASISB, sila layari di https://www.facebook.com/akademisinergi

Sumber