Sumpah Ibuku Bongkar Dendam Terpendam, Uji Kasih Antara Suami, Isteri dan Ibu Mentua

Apabila kasih yang selama ini dianggap suci diselimuti dendam, kehidupan sebuah keluarga mula retak sedikit demi sedikit. Sumpah Ibuku, drama terbaharu di slot Akasia TV3, membuka tirai dengan kisah penuh emosi yang mengupas sisi gelap hubungan kekeluargaan, rahsia lama yang terbongkar dan kasih sayang yang diuji dari setiap arah. Ia bukan sekadar pertembungan tradisi antara menantu dan mentua, tetapi perjalanan mendalam tentang pengorbanan, penebusan dan sejauh mana cinta mampu bertahan apabila dihimpit fitnah dan kebencian.

Drama keluarga penuh konflik ini akan mula bersiaran pada 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3. Episod baharu juga boleh ditonton di iQIYI satu jam selepas tayangan di TV3, melalui laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.

Sumpah Ibuku menghimpunkan barisan aktor dan aktres hebat tanah air seperti Izara Aishah, Datuk Remy Ishak, Liza Abdullah, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly. Setiap watak dibawakan penuh emosi dan ketegangan, membolehkan penonton menyelami dilema, dendam dan konflik dalaman yang menguji ketabahan serta ikatan sebuah keluarga.

Kisah bermula dengan Husna, lakonan Izara Aishah, seorang ibu tunggal yang tabah dan berhati besar, yang akhirnya bersatu kembali dengan cinta lamanya, Hadith, lakonan Datuk Remy Ishak. Namun kebahagiaan yang didambakan tidak kesampaian apabila ibu mentuanya, Che Yam, yang lakonan Liza Abdullah, menolak kehadiran Husna sejak hari pertama. Dengan niat memisahkan mereka, Che Yam berganding dengan Syafiqah, watak Zara Zya, untuk menghancurkan rumah tangga Husna dan Hadith. Walaupun dianiaya dan difitnah, Husna tetap setia menjaga bapa mentuanya yang lumpuh sehingga ke akhir hayatnya. Fitnah demi fitnah akhirnya memaksa Husna diusir dari rumah, membawa dirinya pulang ke kampung, di mana dia bertemu Nurul Iman, lakonan Syad Mutalib, yang membantunya membongkar kejahatan Che Yam dan Syafiqah membuktikan bahawa kasih yang tulus sentiasa menang walau dicabar kebencian.

Menurut Izara Aishah, “Sumpah Ibuku mencerminkan realiti yang dilalui ramai dalam masyarakat kita. Husna ialah seorang kakak sulung yang membesar melalui pelbagai cabaran sehingga membentuk dirinya menjadi lebih tegas dan matang. Dia mewakili wanita moden yang tahu mempertahankan maruah diri, bukan wanita yang mudah tunduk atau lemah.”

Sumpah Ibuku akan mula menemui penonton pada 19 November 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3, dengan episod baharu turut tersedia di iQIYI satu jam selepas siaran. Untuk perkembangan terkini drama ini dan drama-drama lain, ikuti TV3 di Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok melalui @TV3Malaysia serta Drama Sangat di Instagram @dramasangat.