Suasana Meriah Dijangka di KL Street Jam, Laman Jejak Pahlawan

KL Street Jam 2025 membuka pentas edisi sulungnya malam tadi di Laman Jejak Pahlawan, Bulatan Dato’ Onn dengan suasana meriah berlatarkan sambutan bulan kemerdekaan. Berkonsepkan “Merdeka Street Vibes”, acara anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan CATS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL ini tampil dengan persembahan seni yang menggabungkan muzik, tarian dan budaya dalam suasana santai terbuka yang meraikan semangat patriotisme.

Antara yang mencuri tumpuan malam itu ialah kemunculan semula Maman daripada Teachers Pet yang tampil menyentuh hati penonton dengan lagu-lagu ikonik seperti Kasih Ku Pinjam Wajahmu, Cinta Kita dan Warisan Wanita Terakhir. Penampilan ini menjadi lebih bermakna kerana ia merupakan persembahan pertamanya selepas berehat panjang akibat kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Fayza Mohamed Amin yang meninggal dunia akibat barah tahun lalu.

Turut menghangatkan pentas ialah Haiza yang tidak menghampakan dengan persembahan bertenaga membawakan lagu Penasaran, Tanah Pusaka serta versi terkini Dag Dig Dug 3.0. Dr. Kronik pula menambah variasi dengan lagu-lagu penuh semangat seperti Hidup Hidup Dibakar, Zero To Hero dan Fanatik.

Pengacara acara, Nadia Hasnan turut memainkan peranan besar menceriakan malam dengan celotehnya yang bersahaja, mencetus interaksi mesra bersama para penonton. Persembahan turut diserikan dengan koreografi tarian patriotik berwarna-warni oleh Artis Budaya DBKL, manakala Kombo Budaya DBKL mengiringi dengan susunan muzik bertemakan kemerdekaan yang menyemarakkan suasana.

Lokasi yang berlatarkan kawasan bersejarah dalam Koridor Warisan Kuala Lumpur menjadikan acara ini lebih bermakna, selari dengan usaha DBKL dalam memartabatkan Laman Jejak Pahlawan sebagai pusat seni komuniti dan budaya yang terbuka kepada masyarakat.

KL Street Jam edisi Merdeka ini berjaya membuktikan potensi acara seni sebagai medium perpaduan yang merentas latar belakang dan generasi. Siri seterusnya dijadual berlangsung pada 23 Ogos 2025 jam 8.30 malam di lokasi yang sama, dengan barisan artis menarik yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.