Strim siri drama audio ‘Malam Pengantin’ terbitan SYOK bersama Dewan Bahasa dan Pustaka bermula 29 Mac

Strim siri drama audio ‘Malam Pengantin’ terbitan SYOK bersama Dewan Bahasa dan Pustaka bermula 29 Mac

Audio drama bersiri baru Malam Pengantin yang berkisarkan pengorbanan kasih sayang seorang isteri dalam menangani kesusahan membesarkan keluarga tersedia untuk dinikmati oleh pendengar SYOK Podcast. Premis dan plot drama radio ini berdasarkan novel “Pulang Gadisku Pulang,” yang ditulis oleh Datuk Hajah Habsah Hassan, seorang pengarang dan penulis lirik terkenal tanah air. Hanya di kaunter aplikasi dan laman web SYOK, siri Podcast Malam Perkahwinan SYOK akan mula disiarkan pada 29 Mac jam 10 pagi.

Kenny Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio dan Rocketfuel Entertaiment, berkata, “Kami teruja mempersembahkan siri drama audio Malam Pengantin yang akan menyertai koleksi drama audio dan podcast kami di SYOK. Tambahan kepada siri drama audio ini, aplikasi SYOK turut memaparkan seleksi hiburan audio tempatan yang pelbagai untuk pilihan ramai. Melalui kerjasama kami dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi, kami turut memberi peluang kepada pengkarya tempatan untuk terus hidup di medium digital dan elektronik, selain halaman buku, serta peluang untuk artis-artis tempatan memperkembangkan bakat mereka di platform SYOK. Kami berharap semua dapat menikmati siri drama audio baharu ini dan terus menyokong pembangunan landskap audio tempatan.”

YBhg. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP, berkata, “DBP dalam landasan yang tepat dalam menjalankan satu daripada fungsi terasnya, iaitu penyebaran bahasa dan sastera dengan mengorak langkah pelaksanaan program dan penghasilan produk digital. Dengan bersumberkan kandungan bahan terbitan dalam bidang Bahasa dan sastera, SYOK merupakan rakan sinergi strategik yang mempunyai “jiwa dan sejalan” dengan kandungan DBP selain terbukti mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam penghasilan produk digital”

Siri drama audio Malam Pengantin terdiri daripada lima episod yang disuarakan oleh bakat-bakat tempatan termasuk Hafreez Adam, Syainie Shuhaimi, Alyssa Azmi, Rosie Haslinda dan Syazwan Shuhaimi. Skrip drama audio ini pula ditulis oleh Datuk Hajah Habsah Hassan, dengan nasihat bahasa serta penceritaan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malam Pengantin juga adalah drama audio tempatan pertama yang dilengkapi runut bunyi asal bertajuk ‘Cinta Tak Mengerti’, nyanyian Syazwan Shuhaimi, pelantun baharu industri muzik tempatan di bawah label Rocketfuel Entertainment.

Peminat boleh menyelami kisah Faridah (Syainie) dan Bahrin (Hafreez), merupakan pasangan bercinta yang ditakdirkan untuk mendirikan rumah tangga bersama. Namun pasangan ini dilanda dugaan apabila keduanya terlibat dalam kemalangan, di hari pertama percutian bulan madu. Natijah daripada kemalangan itu, Faridah perlu menerima takdir apabila kehilangan anggota kaki dan merasakan dirinya beban kepada Bahrin. Demi mencari kebahagiaan buat sang suami, Faridah mendesak Bahrin untuk mengahwini rakan karibnya Rokiah (Alyssa) agar kebahagiaan Bahrin dapat dikecapi sungguhpun Faridah perlu mengorbankan perasaan dan cintanya.

Episod-episod baharu Malam Pengantin akan disediakan setiap Rabu, jam 10 pagi pada minggu seterusnya menerusi aplikasi dan laman web SYOK. Untuk maklumat lanjut, lawati syok.my atau platform media sosial SYOK.