Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) optimis untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam industri emas tempatan apabila menyasarkan pembukaan sehingga 30 cawangan baharu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Shaaini Md Jumaat berkata, langkah itu selari dengan peningkatan minat masyarakat terhadap pemilikan emas yang kini semakin dilihat sebagai instrumen simpanan dan pelaburan yang diyakini.

Beliau berkata, pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi dipacu oleh pertumbuhan penduduk yang pesat serta kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat setempat mengenai kepentingan simpanan emas. Menurutnya, sambutan yang diterima di setiap cawangan baharu sangat memberangsangkan dan menjadi faktor utama yang menyokong pertumbuhan hasil syarikat.

Bersempena pembukaan itu, KESS menawarkan potongan harga RM20 bagi setiap gram emas selain menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta. Selain memperluaskan rangkaian perniagaan, KESS turut bakal memperkenalkan kilang emas miliknya di Puncak Alam yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Ogos nanti, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan untuk melihat sendiri proses penghasilan emas.