Slot Dahlia TV3 Mempersembahkan ROXY Mulai 25 Jun 2022, Setiap Sabtu & Ahad, 7.00 Malam

Slot Dahlia TV3 Mempersembahkan ROXY Mulai 25 Jun 2022, Setiap Sabtu & Ahad, 7.00 Malam

Aqil bertindak untuk mencari jalan penyelesaian apabila dia penat dengan pelbagai karenah pembantu rumah yang merungsingkan namun tidak disangka tindakannya bakal menimbulkan kekecohan dalam keluarganya malahan seluruh kawasan kejiranan turut riuh mengenai kewujudan ROXY selaku pembantu rumah baharunya.

Aquila Emas Sdn Bhd menerbitkan sebuah drama bersiri komedi sebagai tayangan penonton TV3 di slot Dahlia berjudul ROXY pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 7.00 malam.  Drama sebanyak 20 episod ini merupakan arahan M.Nazir Juhan ataupun lebih dikenali sebagai Jet Lee dan nukilan skrip oleh Adza Emie, Azal Ezreen serta Intan Zarina Hassan.  Pelakon-pelakon handalan tanah air digabungkan menerusi drama ini seperti Azlee Khairi, Eira Syazira, Nadiyah Shahab, Aqeesh Aleeya, Nik Adam Mika, Zizan Nin, Tony Eusoff, Zack Kool, Kween Keela, Oktovia Manrose, Roy Azman, Atu Zero, Chiwan Chilokk, Amyza Aznan dan ramai lagi.

ROXY mengisahkan kehidupan sepasang suami isteri berkerjaya iaitu Aqil lakonan Azlee Khairi dan Arissa yang dilakonkan oleh Eira Syazira yang sering berhadapan dengan masalah pembantu rumah yang melarikan diri berikutan Aqil dan Arissa amat sibuk dengan kerjaya dan sangat mengharapkan pembantu rumah yang cekap dan boleh dipercayai untuk menguruskan dua orang cahaya mata mereka iaitu Amira dan Amar.

Aqil bertindak membawa pulang sebuah robot persis manusia yang telah rosak di dalam setor syarikatnya sebagai solusi masalah pembantu rumah yang melarikan diri.  Kehidupan harian mereka lebih terurus dan berjalan lancar pada peringkat kehadiran ROXY (Nadiyah Syahab) hasil pemberian nama oleh Amar.  Amira dan Amar kini menganggap ROXY sebagai penjaga dan teman sebaya mereka yang jujur, amanah dan setia apabila ibu bapa mereka semakin sibuk dengan kerja.

Selain itu, kekecohan dan insiden yang lucu mula timbul selepas kehadiran ROXY seperti pegawai keselamatan di taman perumahan itu iaitu Domi dan Bidin telah jatuh cinta dengan ROXY yang dipercayai sebagai seorang gadis sempurna, bukan itu sahaja Pakcik Murad berkenan untuk menjadikannya sebagai menantu.  Isteri Pakcik Murad, Makcik Norlela pula sentiasa mahu mencungkil rahsia ROXY kerana beranggapan ROXY ialah pendatang asing tanpa izin.  Bukan itu sahaja, ROXY turut dilamar oleh seorang pakar dermatologi iaitu Dr. Rosli sebagai duta produknya serta-merta membuatkan Puan Maria berasa cemburu kerana selama ini hanya dia yang menjadi duta untuk produk suaminya.

Ingin tahu apakah akan terjadi pada ROXY? Adakah robot ini merupakan penyelesaian terbaik dan pembantu rumah sempurna bagi keluarga Aqil dan Arissa? Jangan ketingalan untuk menyaksika ROXY menerusi slot Dahlia mulai 25 Jun 2022, setiap hari Sabtu dan Ahad pada jam 7.00 malam di TV3 dan strim secara langsung di www.tonton.com.my