Dua legenda muzik tanah air, Slam dan Exists, bakal berkongsi satu pentas dalam konsert istimewa bertajuk ‘Slam X Exists – Our Journey’ yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025. Diterajui oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa ia merupakan sebuah penghargaan terhadap perjalanan seni penuh warna-warni dan perjuangan dua kumpulan ikonik ini.
Konsert ini diangkat sebagai ‘penceritaan’ istimewa mengenai evolusi Slam dan Exists sejak era penubuhan mereka. Menariknya, Slam mempunyai kaitan awal dengan Exists apabila kumpulan itu ditubuhkan oleh Shah, salah seorang anggota asal Exists. Slam kemudian menempa nama besar dengan anggota seperti Zamani, Eddie, Man dan Lili. Sementara Exists, yang berasal dari Johor Bahru, pula telah melalui fasa perubahan anggota termasuk vokalis dari era Mamat hingga Ezad, dan kini diterajui oleh Ezad bersama Ajai, Ujang, Along dan Musa.
Menurut Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture, pemilihan judul ‘Our Journey’ adalah tepat kerana ia menggambarkan naratif panjang dan dedikasi Slam serta Exists dalam industri muzik. “Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan, tetapi jenama yang mencorakkan landskap muzik Nusantara. Selepas perbincangan bersama mereka, kami sepakat menjadikan konsert ini sebuah dokumentasi pentas bercerita melalui muzik dan pengalaman sebenar mereka,” jelas beliau.
Dengan seleksi lagu-lagu malar segar seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) serta Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists), konsert ini menjanjikan malam penuh emosi, kenangan dan keajaiban muzik. Tambahan pula, gandingan dua suara emas Zamani dan Ezad dijangka mencipta momen luar biasa buat para peminat.
Bagi Shah Slam sendiri, konsert ini adalah tentang menghargai kekuatan kolektif muzik sebagai medium penyatuan. “Muzik bukan tentang satu individu, tetapi kekuatan bersama yang menyatukan kita semua, tak kira latar belakang,” ujarnya.
Tiket kini boleh didapati menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists. Jangan lepaskan peluang menyaksikan konsert ikonik ini yang bukan sahaja mengangkat kisah Slam dan Exists, tetapi juga mengenang perjalanan muzik anda sebagai peminat setia yang telah memberi sokongan sejak awal.