Siti Nurhaliza Kembali dengan Lagu Tema Eksklusif Filem Terbaru Osman Ali

Lagu terbaru berjudul Sesal, nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, menjadi lagu tema rasmi untuk filem Telaga Suriram, arahan Osman Ali. Lagu ini dicipta dan ditulis oleh Nurzaidi Abd Rahman, dengan susunan muzik oleh Eddie Slam dan permainan seruling oleh Mohar, diterbitkan oleh Odissi Creative Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Terinspirasi daripada kisah dramatik dan menyayat hati dalam filem tersebut, Sesal mengangkat penderitaan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Nurzaidi, yang juga pernah menggubah lagu untuk Ombak Rindu, berjaya mencipta karya yang menyelami emosi mendalam. Osman Ali sendiri tersentuh saat pertama kali mendengar lagu ini dan terus memilihnya sebagai lagu tema. Bagi beliau dan pihak penerbit, hanya Siti Nurhaliza yang mampu menyampaikan penderitaan itu dengan jiwa dan emosi yang tulus.

Filem Telaga Suriram mengisahkan kehilangan misteri seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kampung terpencil, yang menggugat kepercayaan antara komuniti yang rapat. Ketidakmampuan penduduk menemui anak tersebut membawa kepada penyebaran khabar angin tentang pengorbanan syaitan. Ketika gangguan demi gangguan mula berlaku, syak wasangka meningkat dan akhirnya satu kebenaran yang gelap – penuh rahsia serta rasa malu – mula terbongkar.

Klip video rasmi Sesal dirakam di Studio Kayangan di bawah arahan Shuhaimi Zulkefli, dengan sokongan penerbit bersekutu Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan. Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform digital dan video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Malaysia.