Bateriku (M) Sdn. Bhd., peneraju perkhidmatan Connected Roadside Assistance di Malaysia, mencatat satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran rasmi bateri automotif ASTRA yang kini memperoleh pensijilan SIRIM bagi kesemua 28 SKU, diiringi pembukaan Bateriku Quality Lab, sebuah kemudahan dalaman yang berfungsi untuk menjalankan ujian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan aspek keselamatan setiap bateri ASTRA.
Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta dihadiri pengurusan tertinggi SIRIM Berhad, pemain industri automotif dan rakan strategik Bateriku. Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, ASTRA telah terjual melebihi satu juta unit, hasil sokongan ekosistem kukuh Bateriku yang meliputi 225 pitstop di seluruh negara dan lebih 1,500 juruteknik gig mudah alih yang dilatih melalui Bateriku Academy.

Mengikut piawaian IEC 60095, ASTRA menjadi satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang memiliki pensijilan SIRIM bagi semua jenis MF, EFB dan AGM, serta menawarkan perlindungan Takaful Kemalangan Diri Kumpulan sehingga RM7,000 secara percuma bersama Nationwide Warranty Assist, yang membolehkan pengguna menerima bantuan di lokasi di mana sahaja dalam negara.
Penubuhan Bateriku Quality Lab di bawah Makmal Hijau Sdn. Bhd. mengukuhkan lagi kawalan kualiti dalaman agar setiap bateri ASTRA menepati piawaian antarabangsa, manakala ekosistem operasi Bateriku turut merangkumi pembangunan jenama tempatan, keupayaan teknologi, jaringan juruteknik gig, usahawan dan rakan bengkel, di samping inisiatif kelestarian Briged Hijau untuk mengumpul dan melupuskan bateri terpakai serta e-sisa dengan bertanggungjawab.