Senheng New Retail Berhad (“Senheng” atau “Kumpulan”), peruncit elektronik pengguna terbesar di Malaysia, hari ini mengumumkan bahawa semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kelima (AGM ke-5) telah diluluskan oleh para pemegang saham. AGM ke-5 yang berlangsung di Ballroom III, Sayap Utama, Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, menjadi platform penting bagi pemegang saham untuk berinteraksi secara langsung dengan Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan. Sesi tersebut turut memberi ruang kepada perbincangan mengenai prestasi kewangan Kumpulan, amalan tadbir urus korporat serta hala tuju strategik yang akan memacu pertumbuhan Senheng pada masa hadapan. Pada mesyuarat tersebut, para pemegang saham menerima Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan Pengarah dan Juruaudit. Mereka turut meluluskan beberapa resolusi penting termasuk yuran dan manfaat Pengarah, pemilihan semula ahli Lembaga Pengarah, pelantikan semula BDO PLT sebagai Juruaudit Syarikat serta pemberian kuasa kepada Pengarah untuk menerbitkan dan memperuntukkan saham mengikut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016. Pemegang saham turut meluluskan cadangan pembaharuan mandat sedia ada serta mandat baharu bagi transaksi pihak berkaitan berulang yang bersifat hasil atau perdagangan. Kelulusan tersebut membolehkan Senheng meneruskan transaksi berkaitan perniagaan harian secara berterusan mengikut terma komersial yang adil dan munasabah. Pemilihan semula Lim Kim Heng, Lim Kim Chieng, Oh Keng Leng dan Lam Swee Kim sebagai Pengarah memperkukuhkan kesinambungan kepimpinan Lembaga Pengarah serta memastikan kestabilan tadbir urus ketika Kumpulan terus melaksanakan agenda transformasi dalam landskap runcit yang semakin kompetitif. Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Senheng New Retail Berhad, Dato’ Yeow Wah Chin berkata, pihaknya amat menghargai sokongan berterusan yang diberikan oleh para pemegang saham. Menurut beliau, kelulusan terhadap semua resolusi membuktikan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Lembaga Pengarah, pasukan pengurusan dan hala tuju strategik Senheng dalam memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta mencipta nilai mampan untuk semua pemegang kepentingan. Pengarah Urusan Senheng New Retail Berhad, Lim Kim Heng pula berkata, Kumpulan akan terus melaksanakan strategi transformasi dengan penuh disiplin. Beliau menjelaskan bahawa model Point-Based Economy (PBE) dan ekosistem S-Coin akan terus diperkasakan bagi meningkatkan penglibatan pelanggan, menggalakkan pembelian berulang serta membangunkan platform peruncitan yang lebih berdaya tahan dan tidak hanya bergantung kepada persaingan harga. Senheng turut meneruskan pembangunan model PBE dengan menjadikan S-Coin sebagai mata wang ganjaran utama dalam ekosistem omnichannel syarikat. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan nilai pelanggan sepanjang hayat, menggalakkan penebusan ganjaran secara lebih strategik serta memperkukuhkan permintaan merentasi saluran fizikal dan digital. Melangkah ke hadapan, Senheng komited untuk terus meningkatkan kecekapan operasi, memperkaya pengalaman pelanggan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor peruncitan elektronik pengguna di Malaysia. Dengan sokongan padu daripada para pemegang saham, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi yang berdisiplin, pengurusan modal yang berhemah serta pertumbuhan mampan dalam jangka panjang. Post navigation Go Hub Perkukuh Strategi Mobiliti Pintar Selepas AGM Ke-4