Seminar Pemikiran P. Ramlee menekankan bahawa karya seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium pendidikan yang sarat dengan nilai amanah, integriti, dan pembentukan jati diri bangsa. Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB), Datuk Seri Hj Ahmad Hj Burak, berkata karya P. Ramlee mengandungi falsafah pemikiran mendalam yang masih relevan dan wajar dijadikan rujukan dalam menghadapi cabaran moral serta perubahan sosial masa kini.
Menurut beliau, P. Ramlee merupakan seorang pendidik masyarakat melalui seni, dengan setiap naskhah yang dihasilkan menampilkan kritikan sosial yang tajam, mesej kemanusiaan, serta pengajaran moral yang disampaikan secara santai namun berkesan. Beliau menekankan dialog dalam filem Anak Bapak yang jelas memperlihatkan nilai amanah dan integriti, dengan pesan bahawa sekali hilang kepercayaan, ia sukar dipulihkan, membuktikan bagaimana seni digunakan untuk memupuk nilai murni dalam masyarakat.

Tan Sri Mohd Yussof berucap pada Seminar Pemikiran P. Ramlee di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI
Beliau turut menyatakan bahawa karya-karya seperti Bujang Lapok, Anakku Sazali, Antara Dua Darjat, dan Tiga Abdul menonjolkan aspek disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati, kepentingan ilmu, serta hubungan keluarga, selaras dengan konsep pendidikan holistik yang merangkumi jasmani, emosi, rohani, dan intelektual. Seminar ini dianjurkan oleh Program Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Persatuan Alumni Suluh Budiman, Persatuan Persuratan Melayu, dan Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang.
Majlis turut menampilkan Wacana Pemikiran P. Ramlee yang menghimpunkan tiga panel UPSI, iaitu Prof. Madya Dr. Ariff Mohammad, Dr. Azam Sulong, dan Dr. Siti Fariza Mohamad Isa, dengan sesi dimoderatorkan oleh Dr. Hasrina Baharum. Perbincangan menumpukan kepada aspek pemikiran pendidikan, kritikan sosial, dan falsafah kemanusiaan dalam karya seniman agung itu.

Mohd Yussof (lima dari kiri) menyarungkan tengkolok kepada Ahmad (empat dari kiri) sebagai tanda menyempurnakan gimik perasmian Seminar Pemikiran P. Ramlee di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI
Sementara itu, Presiden Persatuan Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, menekankan bahawa P. Ramlee tidak harus dilihat semata-mata sebagai penghibur, tetapi sebagai pemikir dan pendidik masyarakat melalui seni yang merakamkan falsafah, nilai, dan kritikan sosial secara halus sehingga terus menjadi rujukan sepanjang zaman. Beliau berkata, P. Ramlee bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membentuk sikap, adab, dan pemikiran masyarakat Melayu.
Tan Sri Mohd Yussof Latiff menambah bahawa nilai pendidikan dan kemanusiaan dalam karya P. Ramlee bersifat abadi, malah penting untuk difahami oleh generasi muda sebagai asas pembinaan jati diri bangsa. Seminar seperti ini sangat penting untuk menghimpunkan sarjana dan penggiat seni serta menyemai kesedaran bahawa seni adalah pendidikan. Beliau berharap kajian terhadap pemikiran P. Ramlee terus diperluas di UPSI dan institusi lain, serta dijadikan bahan pengajaran dalam kursus seni, bahasa, dan pendidikan.