Bila dua dunia berbeza disatukan oleh cinta, yang berlaku selepas akad bukan hanya bahagia… tetapi juga haru-biru yang menggelikan hati. Itulah premis utama drama komedi romantik terbaharu di slot Akasia bertajuk Selamat Pengantin Haru! yang bakal menemui penonton mulai 9 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam hanya di TV3. Karya sitkom berkonsep mockumentary ini diarahkan oleh Kyoll Hamzah dan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd, menggabungkan elemen humor, drama kekeluargaan dan realiti rumah tangga yang sarat mesej dan emosi.
Drama 13 episod ini mengangkat kisah Amelie, seorang wanita moden dan berdikari lakonan Janna Nick, yang berkahwin dengan Bazlee, seorang lelaki kampung yang amat rapat dengan keluarganya, dibawakan oleh Dini Schatzmann. Namun, perkahwinan mereka yang pada awalnya nampak indah mula diuji apabila Amelie perlu menyesuaikan diri dengan budaya hidup baharu, kehadiran ipar-duai yang terlalu bergantung padanya, dan kemunculan sepupu lama bernama Syafiqa yang masih menyimpan perasaan terhadap Bazlee.
Menariknya, setiap episod memaparkan perjalanan pasangan ini dengan gaya dokumentari fiksyen, membolehkan penonton menyelami gelagat mereka dari perspektif yang lebih intim dan santai. Pergaduhan manja, perbezaan pendapat, dan dilema perkahwinan menjadi nadi utama yang memandu naratif cerita, sambil disulam dengan gelak tawa serta detik yang mengusik perasaan.
Barisan pelakon lain yang turut menyerikan drama ini termasuklah Malia Baby, Dato Tamimi Siregar, Serena Redzuawan dan ramai lagi yang menjayakan watak-watak sampingan yang mencuit hati dan melengkapkan konflik yang dibina. Gabungan lakonan bersahaja dan sinergi semula jadi antara Janna dan Dini menjadikan Selamat Pengantin Haru! lebih segar dan menyerlah.
Menurut Janna Nick, drama ini memberi peluang untuknya dan suaminya menonjolkan sisi lakonan yang lebih santai namun mencabar. “Ini kali keempat kami digandingkan bersama, dan genre komedi ringan seperti ini memang menguji bagaimana untuk kelihatan natural sebagai pasangan yang kerap ‘bertekak manja’. Walaupun santai, tetap ada mesej rumah tangga yang dekat dengan realiti penonton,” katanya.
Selamat Pengantin Haru! bukan sekadar komedi romantik, tetapi juga paparan kehidupan selepas perkahwinan yang penuh dengan dugaan, penyesuaian dan kompromi. Ketika hubungan diuji oleh fitnah dan konflik keluarga, mampukah cinta menjadi penyelamat, atau mungkinkah ia sekadar angan yang indah di awal perkenalan?
Penonton boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal secara eksklusif di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk perkembangan terkini mengenai drama ini dan kandungan lain di TV3, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta @dramasangat di Instagram untuk kemas kini drama tempatan kegemaran anda.