SESUNGGUHNYA, Islam menggalakkan umatnya supaya berbuat baik kepada semua orang. Hal itu termasuklah memberi bantuan kewangan, penjagaan dan apa saja pertolongan asalkan tidak membantu dalam urusan yang mensyirikkan ALLAH. Agama suci itu menetapkan bahawa setiap anak yang memeluk agama Islam wajib menghormati ibu bapanya walaupun mereka tidak memeluk Islam.
Begitulah juga apabila anaknya itu telah berkahwin. Hubungan dan penghormatan terhadap kedua orang tua yang telah melahirkan dan membesarkannya tetap sama kecuali jika dipaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Andai kata, ditakdirkan seseorang itu berkahwin dengan pasangan daripada keluarga bukan Islam, jangan sesekali meminggirkan kedua ibu bapa mertua. Ingatlah bahawa mereka adalah individu yang melahirkan pasangan kita. Merekalah yang merawat, memberi makan, mendidik dan menyekolahkan pasangan kita sehingga mereka berjaya.
Sedar atau tidak, tanpa mereka, pasangan kita tadi tidak akan wujud. Oleh sebab itu, kedua ibu bapa mertua itu wajib disantuni sepertimana ibu bapa kita sendiri. Mereka perlu dilayan dengan baik, diberikan kasih sayang dan perhatian.
Sekalipun mereka bukan Islam, sebagai anak, kita perlu mendengar nasihat mereka. Ia adalah peluang yang sangat berharga untuk kita mempamerkan akhlak Islam.
Doakan kebaikan
Bagaimana jika ibu bapa mertua kita yang bukan Islam itu sakit? Ketahuilah bahawa mendoakan kebaikan untuk orang bukan Islam seperti mendapat kesejahteraan kesihatan, anak dan harta adalah dibolehkan. Ia berserta syarat bahawa selagi orang bukan Islam itu bukan dalam kalangan mereka yang bermusuh dengan Islam sepertimana disebutkan dalam kalam ALLAH.
Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)
KEDUDUKAN ibu bapa sendiri dan mertua adalah sama dalam Islam tidak kiralah mereka seorang Muslim ataupun tidak.
Ibn Kathir berkata: “ALLAH SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. ALLAH hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim, 8/135)
Bahkan, Nabi Muhammad SAW pada asasnya menyuruh kita membalas kebaikan kepada pelaku dengan ucapan yang baik.
Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga ALLAH membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” (Riwayat al-Nasa’ie dan al-Tirmizi)
Ujar Imam al-Munawi, doa yang disebutkan dalam hadis di atas hanya untuk seorang Muslim. Adapun sekiranya seorang kafir berbuat kebaikan kepada seorang Muslim, maka doakanlah agar dia mendapat harta, anak, kesihatan dan ‘afiyah. (Rujuk Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 1/526)
Alangkah baiknya jika kita berdoa agar ALLAH mengurniakan taufik dan ditunjukkan jalan yang terbaik dalam kehidupan kepada kedua ibu bapa atau mertua kita yang bukan Islam. Ini kerana ia termasuk dalam uslub dakwah yang penuh dengan hikmah dan kasih sayang.
Pun demikian, doa seperti rahmat dan barakah daripada ALLAH SWT adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Justeru, sebagai anak atau menantu yang dikurniakan ibu bapa atau mertua yang bukan Islam, jalanilah tanggungjawab terhadap kedua-dua mereka dengan sebaiknya. Ia bukan sahaja dapat memelihara kerukunan rumah tangga kita, tetapi juga memelihara hubungan kekal harmoni dengan keluarga mertua.
Siapa tahu dengan tindakan kita tadi akan menjentik hati kedua ibu bapa atau mertua kita untuk mengenali agama yang suci ini dengan lebih dekat, sekali gus memeluk Islam.***Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud merupakan pendakwah dan Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah.