S P Setia menang dua Anugerah Perak MIPPEA2022

Yuslina (tiga dari kiri) ketika menerima Anugerah Pembuatan Tempat dan Ruang Awam (Kategori Sektor Swasta) bagi Taman Tasik Setia Bayuemas di Klang.

Yuslina (tiga dari kiri) ketika menerima Anugerah Pembuatan Tempat dan Ruang Awam (Kategori Sektor Swasta) bagi Taman Tasik Setia Bayuemas di Klang.

SYARIKAT pemaju hartanah, S P Setia Berhad (S P Setia) memenangi dua Anugerah Perak dalam Malaysia Institute of Planner (MIP) Planning Excellence Awards (MIPPEA2022) yang berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur pada Selasa.

S P Setia menerima Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk (Kategori Skala Besar) melibatkan pembangunan perbandarannya di Setia AlamImpian di Shah Alam, manakala Taman Tasik Setia Bayuemas di Klang menerima Anugerah Pembuatan Tempat dan Ruang Awam (Kategori Sektor Swasta).

Naib Presiden Eksekutifnya, Datuk Zaini Yusoff berkata, dengan mengambil kira kesejahteraan komuniti, pihaknya merancang untuk menjadikan Setia AlamImpian sebuah bandar yang berkonsepkan lestari.

“Kami menyediakan akses kemudahan yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat di satu tempat.

“Dengan menyasarkan LakePoint Central di Setia AlamImpian dibuka pada tahun ini, kami teruja untuk membawa lebih banyak tawaran termasuk pusat runcit, rumah kelab dan Pusat Selamat Datang baharu kami,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata, sejak dibuka, Taman Tasik Setia Bayuemas bukan sahaja menjadi lokasi untuk bersenam, malah ia juga dianggap sebagai destinasi yang kondusif untuk aktiviti riadah seisi keluarga.

“Rumah bukan sekadar tempat untuk didiami, kami berusaha untuk melengkapkan pembangunan dan meningkatkan gaya hidup penduduk dengan ciri-ciri yang mewujudkan semangat kemasyarakatan,” ujar beliau.

Dianjurkan oleh Malaysian Institute of Planners, MIPPEA mengiktiraf kerja dan projek yang menyumbang kepada perubahan bandar, ruang, komuniti dan alam sekitar.

Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk (Kategori Skala Besar) mengiktiraf projek yang dirancang secara holistik terhadap perancangan bandar dan memberi pengaruh positif ke atas binaan fizikal dan persekitaran semula jadi dengan mewujudkan tempat yang boleh didiami dan menyumbang ke arah melaksanakan agenda pembangunan mampan.

Anugerah Pembuatan Tempat dan Ruang Awam pula memberi penghormatan kepada projek yang menunjukkan peningkatan ketara pada kualiti fizikal atau persekitarannya dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi serta sosial komunitinya.

Sumber