Selepas memukau lebih 12,000 peminat di Indonesia Arena, Jakarta, dengan konsert “Here I Am” pada 23 Mei lalu, Dato’ Sri Rossa kini bersedia mengulangi keajaiban sama di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 14 Jun 2025. Konsert ini merupakan penghormatan istimewa buat peminat setianya di Malaysia, negara kedua yang menjadi saksi kebangkitan dan perjalanan muzik beliau selama hampir tiga dekad.
Rossa mengungkapkan rasa terharunya mengenang sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia. “Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di negara ini, kerjaya nyanyian saya mekar dan berkembang… Here I Am bukan sekadar konsert, tetapi hadiah dan perayaan cinta saya kepada peminat yang teguh menyokong saya,” ujar beliau.
Setelah memukau penonton Jakarta dengan lebih 25 lagu ikonik termasuk “Tegar”, “Hati Yang Kau Sakiti”, dan “Pudar”, Rossa kini bersedia membawa pengalaman magis tersebut ke pentas KLCC. Konsert “Here I Am” di Kuala Lumpur akan menampilkan barisan bintang jemputan ternama iaitu Hael Husaini, yang bakal menyuntik emosi mendalam, serta kumpulan vokal perempuan The Ladies (terdiri daripada Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla) yang mewakili semangat wanita Nusantara.
Selain itu, konsert ini juga akan diserikan dengan kemunculan artis hebat seperti Ariel Noah, Ernie Zakri, dan kesegaran baru dari MK K-Clique serta sentuhan unik dari DJ dan produser Dipha Barus. Sebagai tanda sokongan kepada bakat tempatan, persembahan khas akan dibawakan oleh barisan Top 4 One In A Million: Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen.
Dengan gabungan prestasi vokal, cerita persahabatan dan lintas budaya, “Here I Am” menjanjikan malam penuh magis yang menyatukan peminat pelbagai generasi.
Konsert ini dianjurkan bersama oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan sokongan pemasaran dari Sah Entertainment. Tiket kini dijual secara eksklusif melalui Ticket2U mulai RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center) (belum termasuk cukai & yuran), di www.ticket2u.com.my.